- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Raja Muda Perlis Harap Kajian Institusi Raja Didokumentasikan
KUALA LUMPUR, 26 Februari - Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail berharap agar semua aspek kajian berkaitan pemerintahan institusi raja dapat didokumentasikan sebagai satu khazanah negara.
Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj-III) anjuran bersama Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKRIM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, di sini baru-baru ini.
“Ia secara tidak langsung akan menjadi bahan rujukan penting buat generasi akan datang untuk mengetahui dengan lebih jelas melalui koleksi yang dibukukan atau direkodkan dari seantero dunia ini.
“Dokumentasi ini juga akan dapat memartabatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang mempraktikkan Sostem Raja Berpelembagaan,”titah baginda.
Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man , Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato’ Sri Syed Danial Syed Ahmad, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar, Timbalan Ketua Pengarah dasar DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Hajah Nafisah Ahmad.
Seminar selama sehari itu, turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri Perlis, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam, Persatuan Perlis Kuala Lumpur dan Perbadanan Nasional Berhad. Pada majlis itu juga, baginda turut berkenan merasmikan pelancaran buku “Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis” hasil nukilan Pengarah PKRIM UniMAP, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam.
Bertemakan “Pemerintahan DiRaja Dalam Manuskrip Melayu” ucaptama SIRaj III disampaikan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, bertajuk “Raja Sebagai Pemegang Amanah Kedaulatan Bangsa Melayu Melalui Tinjauan Lama dan Baharu”.
Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu dengan memberikan penekanan kepada enam skop yang ditetapkan iaitu Kepimpinan Diraja, Pembangunan Ekonomi Pemerintahan Diraja, Pembinaan Kesenian dan kebudayaan Pemerintahan Diraja, Pendakwahan Pemerintahan Diraja, Hubungan Luar Pemerintahan Diraja dan Surat-Surat Diraja.
Antara pembentang kertas kerja bagi SIRaj III adalah Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Pusat Penerbitan UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji,Naib Presiden Universiti Islam Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob dan Pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia Dr. Mohd Kasri Saidon.
Sementara itu, Datuk Kamarudin berkata, banyak kes melibatkan penghinaan terhadap Institusi Raja dilakukan rakyat Malaysia.
“Institusi Raja adalah satu institusi yang tinggi martabatnya dan perlu dipulihara kedaulatannya dari semasa ke semasa. Dan atas dasar itulah juga prinsip rukunegara yang kedua menekankan kepada “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” agar seluruh masyarakat menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu.
“Atas kesedaran dan prinsip rukunegara kedua itulah kami, menganjurkan SIRaj buat kali ketiga berturut-turut dengan harapan bagi melahirkan kesedaran keapda rakyat tentang pentingnya Institusi Raja sebagai teras pemerintahan negara yang berjalan seiring dengan pentadbiran demikrasi ada hari ini,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.
Ujar beliau lagi, sebagai sebuah pusat pengumpulan maklumat, UniMAP akan menjadikan SIRaj sebagai satu aktiviti akademik bagi penjanaan ilmu yang berterusan di masa akan datang.