A+ A A-

UniMAP Hantar Kepakaran ke Kelantan

5 Januari 2015. Kangar – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Banjir Sukarelawan ke Kelantan dengan menghantar staf yang memiliki pelbagai kepakaran dalam usaha untuk membantu dan meringankan bebanan yang ditanggung penduduk.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ketika ditemui berkata, pada fasa kedua ini seramai 60 orang staf yang terdiri daripada pelbagai jawatan dan pangkat antaranya jurutera, juruteknik, doktor perubatan, pensyarah, penolong pendaftar serta kaunselor telah bergerak ke Tumpat, malam tadi.

“Operasi kali ini akan lebih tertumpu kepada kerja-kerja memulihara, pembaikan dan penyelenggaraan kecil di premis-premis kerajaan dan juga sekitar kediaman mangsa selain membantu membersihkan kawasan-kawasan sekolah bagi melancarkan proses persekolahan tahun ini yang dijangka bermula 11 Januari 2015 di negeri Kelantan.

UniMAP juga akan membantu memberikan khidmat perubatan serta kaunseling untuk membantu mengurangkan trauma kepada para penduduk,” katanya ketika membuat pelepasan Sukarelawan di Bilik Gerakan Banjir UniMAP di Seriab.

Turut hadir Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Noridah Yangman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad dan Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP, Mejar Prof. Madya Dr. Zaliman Sauli.

Menurut beliau lagi, UniMAP turut menghantar pasukan pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau keadaan di Tumpat menerusi udara bagi tujuan melihat kesan banjir terhadap kawasan tersebut.

UniMAP akan membuat penyelidikan yang memberi fokus kepada membangunkan teknologi berasasakan UAV dan sensor bagi pengesanan awal banjir. Saya percaya inilah peluang kita untuk menggunakan teknologi yang ada di UniMAP bagi membantu masyarakat.

UniMAP melalui Pusat Kecemerlangan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS) akan menggunakan teknologi Digital Elevation Model (DEM) untuk mengenalpasti kedudukan muka bumi dikawasan tersebut. Berdasarkan keputusan itu, kita dapat mengetahui dari mana pergerakan air mula mengalir,”katanya.

Kajian ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa syarikat terkenal seperti EMT Jerman, Drei Sohne Technologies (Deutchland) Sdn Bhd (DST) dan  Aerial Imaging Sdn Bhd ,

Selain itu, Prof. Dr. Kamarudin berharap agar para penyelidik UniMAP dapat bangunkan satu teknologi untuk menyelamatkan barangan melalui teknik apungan atau pembungkusan barang bagi mengelakkan kemusnahan teruk.

Sementara itu, Operasi Pasca Banjir ini akan melibatkan tujuh fasa dengan penyertaan sukarelawan yang berbeza. Fasa pertama Operasi  Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP ke Tumpat melibatkan seramai 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) telah bertolak ke Tumpat pada 1 Januari 2015 lalu dan dijangka tiba di UniMAP hari ini.

Fasa kedua ini dijangka berakhir 9 Januari ini dan akan diambil alih oleh penyertaan fasa ketiga melibatkan sukarelawan pakaian seragam, sukarelawan Alumni, Sukarelawan Muda bermula 8 hingga 11 Januari 2015.

Pergerakan sukarelawan fasa keempat melibatkan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MKPP) pada 11 hingga 15 Januari 2015 manakala Sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh adalah paling ramai melibatkan lebih kurang orang 1,500 pelajar melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

Operasi pasca banjir UniMAP

Operasi pasca banjir UniMAP

Operasi pasca banjir UniMAP