A+ A A-

UniMAP Jaga Keharmonian Antara Agama Warganya

KANGAR, 31 Mac — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sememangnya dikenali dengan gelaran juara perpaduan, ia disebabkan keharmonian pelbagai kaum yang sudah terjalin sejak 13 tahun penubuhannya.

Atas kesedaran itu,  Pejabat Penolong Naib Canselor (Komunikasi Korporat), dengan kerjasama Pusat Islam, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan UniMAP Green Crew menganjurkan Forum Keharmonian Antara Agama bertempat di  di Dewan Kapitol UniMAP, di sini.

Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain berkata, forum yang merupakan anjuran kali ke tiga  itu  diadakan sejajar dengan hasrat D.Y.T.M Tuanku Canselor, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang inginkan UniMAP yang merupakan Juara Perpaduan menyokong dan meraikan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.

“Saya percaya dengan penganjuran forum ini, akan dapat menimbulkan kesedaran di kalangan warga UniMAP sekaligus dapat meletakkan perpaduan sebagai elemen penting dalam kehidupan agar ianya sentiasa dijaga dan dihormati supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri lebih dari 200 kumpulan etnik yang menganut pelbagai aliran agama dan program ini merupakan salah satu cara kita memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya warga UniMAP tentang betapa pentingnya menjaga sensitiviti kaum atau agama untuk kita terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni, “katanya ketika merasmikan forum tersebut, semalam.

Forum Keharmonian Antara Agama disertai empat ahli panel yang mewakili empat agama utama di Malaysia iaitu, Datuk Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaff yang mewakili agama Islam, Prof. Dr. Bhuvenesh Rajamony (Hindu), Dr. Lo Gin Yong (Buddha) dan Dr. Ragunathan A/L Santiagoo (Kristian).

Program selama sehari itu berjaya menarik minat lebih 400 peserta yang terdiri dari kalangan staf dan pelajar UniMAP.