- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Didik Pelajar Sekolah Minat Sains
Sungai Petani, 1 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengambil langkah pro-aktif dalam membudayakan Sains dan Teknologi terutama di kalangan generasi muda dalam usaha meningkatkan minat dan penyertaan pelajar sekolah dalam bidang tersebut.
Terbaru, delegasi penyelidik UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (SKSP) khusus untuk membolehkan pelajar melihat dan mempelajari Sains dengan kaedah yang lebih santai.
Selain itu, program yang dikendalikan di bawah naungan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan UniMAP Holdings itu juga turut dikukuhkan lagi menerusi perjanjian surat hasrat (LOI) antara kedua-dua pihak.
Menurut Guru Besar SKSP, Sabarina Said, UniMAP merupakan Institusi Pengajian Tinggi Pertama (IPT) yang “turun padang” ke sekolah berkenaan untuk mendedahkan pelajar kepada bidang inovasi dan robotik.
Program sebegini, jelasnya, disasarkan dapat membantu melahirkan lebih ramai saintis dari kalangan generasi muda untuk pembangunan modal insan yang gemilang selaras dengan hasrat negara meningkatkan bilangan saintis menjelang tahun 2020.
Ia juga, ujarnya secara tidak langsung akan memupuk minat pelajar untuk lebih meminati mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang di ajar dalam kurikulum di sekolah.
“Di SKSP kami mengambil pendekatan untuk memberi bimbingan dengan kaedah yang paling mudah agar para pelajar tidak berasa terbeban dengan ilmu baru yang diperolehi.
“Namun kesempatan yang diperoleh untuk bekerjasama bekerjasama dengan UniMAP ini adalah medan terbaik untuk kami menggilap bakat dan potensi murid dalam bidang-bidang inovasi dan robotik memandangkan UniMAP merupakan antara universiti yang banyak mencipta kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.
Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UniMAP dan SKSP disaksikan oleh Setiausaha Sulit kepada Y.A.B Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Hj Sudin.
Sepanjang program tersebut, pelajar-pelajar tahun satu hingga enam SKSP telah didedahkan dengan teknik dan perancangan dalam melaksanakan inovasi di peringkat sekolah rendah selain turut didedahkan dengan pengaturcaraan dan pembinaan set robotic.
Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Profesor Dr. Kamarudin Hussin berkata, UniMAP akan menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan SKSP agar dapat membimbing dan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
Selain mendedahkan pelajar dengan ilmu, beliau berkata para peserta bengkel juga diuji dari aspek kerjasama berpasukan melalui pertandingan pertandingan robotik antara pelajar-pelajar.
“Dari pertandingan seperti ini, adalah diharapkan ia dapat memupuk semangat berkumpulan dan daya saing yang tinggi yang mana ia merupakan antara aspek utama yang menyokong kejayaan sesebuah penyelidikan,” ujar beliau lagi.