- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
UniMAP Gunakan Sistem Metafabrik ICT Pelihara Alam Sekitar
Kangar – Dalam mempraktikkan dasar kampus hijau, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan usaha mengurangkan kesan pencemaran ke atas alam sekitar dengan menggunakan sistem baru iaitu The QFX3000-M QFabric System dari The Juniper Networks Sistem QFabric®.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (ICT) UniMAP, Nasrudin Abd. Shukor ketika dihubungi baru-baru ini yang yakin bahawa teknologi tersebut akan membantu memelihara alam sekitar serta mengurangkan kos operasi data di samping mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelajar, kakitangan dan pihak luar.
“UniMAP percaya dengan menggunakan teknologi terkini di kelas, makmal penyelidikan, pentadbiran akan membantu menarik minat pelajar pintar, pensyarah yang berkaliber di samping meningkatkan dana penyelidikan universiti.
“Sistem ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2015 dan UniMAP adalah universiti pertama yang menggunakannya di Malaysia,” katanya.
The QFX3000-M QFabric Sistem direka bentuk untuk beroperasi dengan kecekapan tenaga yang optimum di mana alat-alat yang digunakan adalah jauh lebih kecil berbanding satu rangkaian pusat data konvensional.
“Juniper Networks QFabric membolehkan UniMAP menyatukan kira-kira 100 pelayan yang sedia ada kepada hanya 2 pelayan berkapasiti tinggi yang bersaiz sehingga 200 mesin maya, sekali gus mengurangkan penggunaan kuasa dan memberi lebih ruang untuk menyokong perkhidmatan keluar.
“Pusat data ICT UniMAP boleh beroperasi lebih 30 kali dari saiz semasanya dan digunakan untuk e-perkhidmatan baru, pengajaran, penyelidikan menggunakan pengkomputeran berprestasi tinggi serta berkemungkinan perkongsian perkhidmatan ‘cloud’ untuk jabatan-jabatan kerajaan tempatan di negeri Perlis,” katanya
Pusat ICT UniMAP kini menawarkan lebih dari 50 sistem berasaskan web untuk pelajar dan kakitangan, di mana beberapa sistemnya telah dipertingkatkan sebagai aplikasi mudah alih Android dan melalui penggunaan sistem QFX3000-M dijangka akan mempercepatkan sistem respon pengguna selain penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.