- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
UniMAP Berjaya Anjur MIROC 2014
14 April 2014, PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya menganjurkan Malaysia International Robot Competitions (MIRoC) 2014 yang berlangsung pada 12 dan 13 April lalu di perkarangan Dewan Peperiksaan, Kampus UniMAP di sini.
Pertandingan yang disertai lebih 40 pasukan dari Institusi Pengajian Tinggi dari dalam dan luar negara serta sekolah menengah seluruh Malaysia. Sebanyak empat kategori dipertandingkan pada MIRoC 2014 iaitu, Fire Fighting Robot, Rope Climbing Robot; Conquer Robot dan Rescue Robot.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Datuk Dr. Mohd Azhar Yahaya.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program kombinasi MOSTI dengan IPT akan melahirkan belia yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi.
“ Saya mengagumi usaha yang dilakukan oleh UniMAP dalam merancakkan pembangunan penyelidikan di peringkat IPT. Program-program yang dianjurkan oleh UniMAP dilihat telah memberikan impak yang positif kepada pada pelajar.
“Sememangnya minat dalam bidang sains dan teknologi ini perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Saya percaya, lebih ramai lagi penyelidik muda akan dihasilkan melalui pertandingan seperti ini,”katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Sementara itu, menurut Datuk Kamarudin, MIRoC akan terus menjadi cara tahunan kerana ianya akan menjadi platform idea-idea baru salam bidang robotik dihasilkan sekaligus meningkatkan kualiti, teknologi, kreativiti dan inovasi.