- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Jalinkan Hubungan Dengan Universiti Queensland, Australia Dalam Penyelidikan Geopolimer dan Bahan Elektronik
Brisbane (Australia), 9 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) memperluaskan hubungan penyelidikan dalam bidang geopolimer dan bahan elektronik dengan salah sebuah universiti yang terkemuka di Australia iaitu Universiti Queensland (UQ) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) hari ini.
Kerjasama tersebut membabitkan CEGeoGTech dan Fakulti Kejuruteraan, Seni Bina dan Teknologi Maklumat (EAIT) UQ yang mengkhusus kepada kerjasama penyelidikan serta penempatan staf dan pelajar di kedua-dua buah universiti.
Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan, Perngkomersialan dan Harta Intelek UniMAP, Datuk Wira Prof. Dr. Salleh Hj Din yang mewakili Naib Canselor dan Pemangku Dekan Eksekutif EAIT, Professor Carroline Crosthwaite.
Turut hadir, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech), Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan Pengurus CEGeoGTech, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah dan Ketua Jabatan PPK Kejuruteraan Mekanikal dan Galian UQ, Prof. David Mee.
UQ merupakan universiti dalam kedudukan 43 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings (THES).
Antara lainnya, kerjasama tersebut menjurus kepada kesinambungan kerjasama sebelum ini dimana UQ telah memberi tempat khas untuk staf atau pelajar daripada UniMAP menyambung pengajian bagi peringkat doktor falsafah (PhD).
Pada masa sama, pihak UQ juga telah memberi ruang kepada UniMAP mengguna pakai kemudahan di Pusat Mikroskopi dan Mikroanalisis (Australian Microscopy & Microanalysis Research Facility : AMMRF) tanpa dikenakan bayaran.
Buat masa ini, seorang staf UniMAP telah melanjutkan pengajian PhD dibawah Pusat Pembuatan Bahan Elektronik (NSCMEM) iaitu Saudara Mohd Arif Anuar Mohd Salleh yang juga merupakan tenaga pengajar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan selain lima pelajar pasca siswazah di beberapa pusat pengajian lain di UQ.
Menerusi lawatan tersebut juga, dua sesi perbincangan terperinci telah diatur oleh pihak UQ iaitu bersama NSCMEM yang diwakili oleh Pengarahnya iaitu Prof. Dr. Kazuhiro Nogita, penyelidik NSCMEM, Jonathan Read, Pengarah Pusat Pemprosesan dan Pembuatan Bahan Termaju (AMPAM), Prof. Madya Dr Matt Dargush serta Pengarah AMMRF, Professor John Drennan.