A+ A A-

UniMAP Kembangkan Kerjasama Dengan Institusi Pendidikan Romania

Kangar, 31 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengembangkan kerjasama strategik dengan Institusi Pendidikan di Romania apabila menandatangani surat hasrat dengan Technical University of Cluj-Napoca (TUCN), Romania.

Kerjasama tersebut bakal meliputi penglibatan dalam bidang penyelidikan, penerbitan jurnal berimpak serta perkongsian teknologi yang akan memberi fokus kepada bidang Teknologi Hijau dan Geopolymer.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, UniMAP sebelum ini mempunyai hubungan yang erat dengan Fakulti Sains dan Kejuruteraan Bahan, Technical University of Iasi, Romania dan perjanjian yang dimeterai hari ini di harap dapat mengukuhkan lagi kedudukan UniMAP di persada antarabangsa.

"UniMAP yakin, penglibatan dengan institusi pendidikan di luar negara ini mampu melonjakkan pencapaian UniMAP terutama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal berimpak,” ujar beliau.

Majlis menandatangani surat hasrat itu diadakan bersempena Seminar Bahan Termaju anjuran Pusat Kecemerlangan Geopolymer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP, Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.

Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Datuk Kamarudin sendiri manakala TUCN diwakili oleh Dr. Eng.Corbu Ofelia Cornelia, Pengarah Central Labarotary TUCN.

Seramai 50 orang pelajar pasca siswazah menyertai seminar tersebut yang memberi fokus kepada memperolehi input-input yang bermanfaat dalam menghasilkan thesis yang terbaik yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Andrei Victor Sandu, Saintis Kanan, Technical University of Iasi (TUI), Romania.

Menurut Dr. Kamarudin, penganjuran seminar ini juga adalah sebahagian dari usaha mengembangkan kerjasama antara UniMAP dan Institusi Pendidikan di Romania terutama yang mampu memberi impak kepada penghasilan graduan berkualiti.

Jelas beliau, UniMAP dan TUI sebelum ini juga turut berjaya menganjurkan Seminar Antarabangsa iaitu International Conference on Advanced Materials Engineering & Technology (ICAMET 2014) di Vietnam penghujung tahun lalu dengan UniMAP bertindak sebagai tuan rumah.

"Pada bulan Mei ini pula, satu lagi persidangan International Conference Innovative Research (ICIR) yang akan diadakan di Iasi Romania. Selain itu kedua-dua institusi juga kini aktif menerbitkan jurnal berimpak dengan jumlah jurnal telah mencecah 40 buah.

"UniMAP dan TUI juga telah berjaya menerbitkan sebuah buku secara bersama manakala beberapa buah buku lagi sedang dalam proses penterjemahan menggunakan bahasa masing untuk diterbitkan dalam masa terdekat,” ujar beliau lagi.