- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Lantik Menteri Di Indonesia Sebagai Profesor Tamu
13 September 2013
JAKARTA, Indonesia - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini melantik Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Dahlan Iskan sebagai Profesor Tamu universiti itu.
Peristiwa itu sekali gus menjadi lakaran sejarah terpenting dalam kalendar peristiwa UniMAP kerana Dahlan merupakan menteri Kabinet pertama dari negara asing yang diberi penghormatan itu.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan watikah pelantikan itu kepada Dahlan yang juga tokoh kewartawanan yang disegani dalam satu majlis di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.
Kepakaran Dahlan dalam bidang keusahawanan, kewartawanan dan sains menjadi teras utama pemilihan dan pelantikan beliau sebagai Profesor Tamu UniMAP, agar Menteri Indonesia itu dapat berkongsi ilmunya dengan para penuntut UniMAP.
Berucap dalam majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah UniMAP berharap Dahlan dapat berkongsi pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan kepada para penuntutnya selain membantu dalam bidang keusahawanan di universiti itu terutamanya dalam usaha mengkomersialkan produk penyelidikan.
“Pengalaman yang ada pada Dahlan boleh memberi manfaat besar kepada UniMAP khususnya dan sektor pendidikan di Malaysia umumnya untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada generasi muda untuk berjaya seperti beliau.
“Pelantikan Dahlan juga adalah sejajar dengan matlamat dan rancangan UniMAP yang kini di peringkat akhir perancangan untuk mewujudkan jurusan pengajian Komunikasi Media Baharu.
"Kita juga mengharapkan Dahlan dapat bekerjasama dengan UniMAP dalam merangka strategi menggapai sasaran utamanya menjadi antara 500 universiti terbaik di dunia," titah baginda.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khali, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin serta ketua-ketua ekskutif syarikat-syarikat milik negara Indonesia.
Sementara itu, Dr. Kamaruddin dalam ucapannya, berkata UniMAP menilai kepemimpinan Dahlan di syarikat media Jawa Pos Group dan Jawa Pos News Network, sebelum ini, sebagai tokoh berpengalaman luas.
Selain itu, ujar beliau, pengalaman luas yang dimiliki dalam bidang keusahawanan dan perniagaan juga turut menarik minat UniMAP untuk berkongsi kepakaran yang dimilikinya.
“Pembangunan akademik di UniMAP memerlukan kepakaran pelbagai pihak dalam bidang dan tugas yang berkaitan, seperti tugas mengajar, menyelidik, sebagai penasihat, memeriksa, merancang, mereka bentuk program akademik baru, dan sebagainya.
“Kepakaran akademik luar ini juga diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan bagi sesetengah kes, seperti dalam penelitian ke atas program akademik baru, penubuhan pusat baru, dan sebagainya,” jelas beliau.