A+ A A-

UniMAP Raih 111 Pingat Di i-ENVEX 2015

Arau, 28 April 2015 – Dalam usaha menyahut seruan kerajaan menghasilkan teknologi baru melalui penyelidikan dan inovasi, Universiti Malaysia Perlis nyata berada dikelompoknya yang tersendiri apabila berjaya meraih 111 pingat pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-Envex) 2015 baru-baru ini.

Jumlah tersebut adalah pecahan 44 emas, 47 perak dan 20 gangsa dari 126 produk yang dipertandingankan.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin nyata gembira dengan keputusan yang dicatatkan penyelidik UniMAP pada pameran tersebut.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa produk-produk yang dihasilkan adalah berkualiti dan kelak mampu memberi sumbangan balik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan i-Envex 2015 di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra di sini.

Katanya lagi, pameran ini sebenarnya menekan semangat kerjasama dan pertukaran ilmu antara penyelidik muda dari dalam dan luar negara dari segi akademik, saintifik dan kebolehan penyelidikan.

Tidak ketinggalan, i-Envex juga bertindak sebagai forum kepada penyelidik untuk berkongsi hasil kerja dan pengalaman dalam bidang kepakaran mereka.

“Malah, kerajaan Malaysia telah memberi penekanan terhadap teknologi baru melalui penyelidikan inovasi dan UniMAP mengambil langkah proaktif dengan menjadikan i-Envex sebagai platfom yang terbaik untuk bertukar dan mencipta idea sesama penyelidik,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi mendokong hasrat negara untuk menghasilkan lebih ramai penyelidik muda di peringkat global, UniMAP mengambil langkah proaktif dengan menaiktaraf Kelab Penyelidik Muda (EYREC) UniMAP menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dipanggil Malaysian Research and Innovation Society (MyRIS).

“MyRIS menyasarkan bertindak sebagai medium bagi menyalurkan idea mengenai penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa.

UniMAP percaya MyRIS akan bertindak sebagai penghubung yang terbaik bagi mempromosikan penyelidikan dan inovasi selari dengan falsafah UniMAP untuk menyerlah dipersada antarabangsa.

“Malah ini juga adalah selaras dengan visi Perdana Menteri yang ingin melahirkan jurutera glokal iaitu berfikir secara global dan bertindak secara lokal,” katanya.

I-Envex telah dianjurkan buat kali keenam dan berlangsung selama tiga hari di kampus induk UniMAP bermula bermula 17 hingga 19 April yang lalu.

Pameran bertemakan "Kejuruteraan Untuk Masyarakat' ini disertai 457 produk dengan lebih 600 orang peserta pelbagai peringkat seperti sekolah rendah, menengah, Politeknik, Koleh Komuniti, Institut Latihan, Universiti Awam dan Universiti Antarabangsa.

Malah ianya turut menarik pelajar daripada pusat pengajian tinggi dari Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, Oman, Vietnam, Filipina, Iran, Iraq dan Mesir.

penyelidikan dan inovasi