- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Sedia Tawar Tempat Kepada Pelajar Miskin Ke IPTA
Kangar, 19 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menawarkan tempat kepada pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dipilih, melalui satu program khas 'UniMAP DiHatiku” yang akan diadakan di seluruh negara mulai minggu hadapan dengan Terengganu sebagai destinasi pertama program.
Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, menerusi program itu yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri, Besut, universiti berkenaan akan menawarkan hampir 100 tempat kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum kemasukan.
“UniMAP memperuntukkan sekitar 40% kemasukan dari keseluruhan kemasukan bagi sesi 2013/2014 ini menerusi program UniMAP Di Hatiku ini yang disasarkan kepada pelajar yang gagal mendapat tempat ke IPTA untuk kemasukan September ini.
“Selain itu kita juga akan turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang telah memohon ke IPTA tetapi gagal mendapat tempat di mana-mana universiti untuk proses rayuan kemasukan ke UniMAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini..
Kamarudin berkata program itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan IPTA menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu anak-anak bangsa supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata program itu juga adalah untuk menyampaikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar dan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.
“Kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir.
"Dengan adanya program ini, mereka berpeluang meneruskan pengajian di UniMAP dan memilih bidang pengajian yang sesuai di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat ijazah," katanya.
Ujar beliau lagi, pelajar yang berminat boleh hadir ke SMK Seri Bukit Keteri dengan membawa semua sijil-sijil berkaitan.
“Surat tawaran kemasukan akan terus diberikan pada 22 Julai ini oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata, bersempena dengan program UniMAP Di Hatiku itu juga, UniMAP akan menganjurkan Bengkel Robotik yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah sekitar Besut untuk mempelajari teknik dan kaedah penghasilan robot dengan bantuan kepakaran yang dimiliki oleh pensyarah UniMAP.
Menurut beliau melalui pendedahan sebegini ia merupakan salah satu platform bagi anak-anak pelajar mengasah bakat dan kreativiti dalam teknologi selain memahami sistem elektrik, elektronik dan mekanikal terutamanya melibatkan mekatronik serta robotik.
“Saya percaya Kem ini mampu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada para pelajar mengenai ilmu pengetahuan dalam bidang robotik secara ‘hands-on’ di samping memupuk minat mereka ke arah bidang tersebut.
“Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Md. Diah turut dijangka hadir bagi menyempurnakan perasmian bengkel tersebut pada 21 Julai ini,” ujarnya lagi.