A+ A A-

UniMAP Terus Gerak Sukarelawan Fasa Keempat Ke Kelantan

Pauh Putra, 11 Januari  2015 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur fasa keempat dengan menggerakkan sukarelawan dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di Kelantan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, seramai 90 sukarelawan dari pelbagai jabatan dan kolej kediaman UniMAP telah bergerak ke Tumpat, pagi tadi.

“Mereka adalah pelajar dan staf UniMAP yang terdiri dari Majlis Perwakilan Kolej Kediaman, Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan, dan Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti (IKSK),” 

“Misi keempat ini akan tertumpu di kawasan sekolah yang baru berikutan kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang telah siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelepasan tersebut  di Perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di kampus induk UniMAP di sini berkata,  dengan bantuan yang dihulurkan oleh sukarelawan UniMAP dari fasa satu hingga tiga, alhamdulillah pelajar sekolah-sekolah yang terlibat ini, telah memulakan sesi persekolahan mereka dengan lancar hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad.

Selain itu, beliau turut menyeru semua pelajar pelbagai bangsa untuk turut menyertai misi sebegini bagi menguatkan lagi semangat perpaduan di kalangan kaum.

“Pelajar harus mendekati masyarakat dan memahami kesusahan yang dialami untuk mendapat kesedaran sekaligus meningkatkan semangat perpaduan dalam diri,” katanya.

Terdahulu dalam Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur telah melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang bertolak ke Tumpat pada 1 Januari dan mengakhiri misi mereka pada 5 Januari lalu.

Misi kemudiannya diambil alih oleh fasa kedua bermula 5 Januari dan dijangka berakhir 9 Januari dan diteruskan oleh fasa ketiga sehingga 11 Januari.

Misi diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat hari ini hingga 15 Januari 2015 nanti dan akan diteruskan oleh sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh yang dijangka melibatkan paling ramai sukarelawan melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

 Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur

 Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur

 Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur

 Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur

 Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur