- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Tingkatkan Motivasi Kerohanian anak-anak Korban Tsunami
Kangar, 9 Jun - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menyumbangkan tanggungjawab khidmat sosialnya dengan menganjurkan program motivasi kearah meningkatkan keyakinan diri kepada anak-anak korban konflik dan Tsunami di Acheh.
Lawatan yang dianjurkan bersama Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) itu disambut kira-kira 200 pelajar di Markaz Al-Ishlah Kota Banda Aceh.
Delegasi UniMAP yang diketua Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, meluangkan lebih dua jam bersama anak-anak yatim dengan menyuntik kata-kata semangat dan perangsang agar mereka tidak berputus harapan untuk mengejar impian dengan menguasai cabang pendidikan yang diminati.
Kekurangan dari sudut fasiliti dan kemudahan pembelajaran tidak harus menjadi penghalang kepada mereka untuk melonjak tahap pengetahuan pendidikan ke aras yang lebih baik dan tinggi, seterusnya menjadi insan yang berjaya.
“UniMAP berhasrat menjadikan pusat pengajian agama ini sebagai markaz angkat di mana universiti akan membantu dari aspek pendidikan dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kepada anak-anak tersebut.
Markaz yang ditubuhkan pada tahun 2002 itu dipimpin olehTengku H. Tu Bulqani Tanjungan dan difahamkan markaz turut menerima kanak-kanak mualaf serta terpinggir untuk diasuh dan dididik dengan pendekatan agama Islam,”kata Prof Dr Kamarudin.
UniMAP turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan kepada markaz tersebut yang diserahkan oleh Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Turut serta dalam lawatan ini, Rektor UUI, Marniati, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, Dr Rizalafende Che Ismail merangkap pengurusi Jawatankausa Promosi UniMAP.