- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP tuan rumah ASP 2014
Busan, 26 Julai 2013 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah Asia Summer Program (ASP) 2014 selepas majlis penyerahan bendera ASP pada majlis Penutup ASP 2013 yang diadakan di Dongseo University (DSU), di sini, baru-baru ini.
Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Presiden DSU, Prof. Dr. Jekuk Chang kepada Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Datuk Kamarudin dalam ucapannya berjanji bahawa UniMAP akan melaksanakan ASP2014 dengan sebaik mungkin.
“Tahun hadapan UniMAP akan menjadi hos kepada ASP dan kami akan menganjurkan ASP setanding dengan penganjurannya sebelum ini bagi meneruskan tradisi yang sedia ada.
Malah ianya menjadi satu cabaran yang besar buat UniMAP kerana kedua-dua universiti yang pernah melaksanakan ASP iaitu Universitas Petra Kristen (PCU) Indonesia dan DSU telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi bagi kualiti penganjurannya,” katanya.
Beliau juga berharap agar semua peserta dapat menjadi duta kecil yang meuar-uarkan kepada universiti masing-masing mengenai kelebihan menyertai dan maklumat penganjuran ASP seterusnya yang akan dilaksanakan di UniMAP pertengahan tahun hadapan.
Selain itu, beliau juga inginkan kerjasama yang terhasil melalui ASP tidak terhenti setakat ini tetapi diteruskan melalui kolaborasi dalam bidang lain.
“Saya berharap agar kerjasama ini boleh dilaksanakan dalam bidang lain terutamanya akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan staf.
ASP telah membuktikan bahawa bahawa kita boleh bekerjasama demi mencapai manfaat bagi institusi yang kita naungi,” katanya.
Menurut Datuk Kamarudin lagi, ASP juga membantu peserta untuk lebih memahami diri sendiri selain membentuk mereka sebagai pemimpin dan juga cara melaksanakan tugasan secara kumpulan.
“ASP sebenarnya memberi pendedahan kepada pelajar cara berkomunikasi dan bekerjasama, berfikir secara kreatif dan kritis dan seterusnya membentuk pelajar yang berminda global,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Petra Christian University, Dr. Hanny Hosiana Tumbelaka; dan Timbalan Presiden Naresuan University, Dr. Sukkid Yasothornsrikul.
Sementara itu, bagi Pengarah Program ASP UniMAP, Shafiq Hizwari Md. Hashim berkata program ini sangat bermanfaat dan memberi impak yang besar kepada pelajar kerana ASP mempunyai keunikannya tersendiri berbanding program musim panas yang lain.
“ASP adalah sebuah program yang memberi pendedahan di mana pelajar perlu melaksanakan pelbagai tugasan yang mencabar mental dan fizikal mereka, malah penyertaan tersebut telah melayakkan pemindahan kredit bagi subjek komunikasi teknikal.
Peserta yang terpilih juga terpaksa melalui beberapa tapisan yang ketat bagi menjaga kualiti program tersebut sebelum melayakkan mereka untuk menyertainya,” katanya.
Shafiq juga mensasarkan bahawa akan ada lebih banyak penyertaan yang bakal diterima pada ASP2014 di UniMAP sekaligus memecahkan rekod 27 universiti yang menyertai ASP di DSU kali ini.
ASP pertama kali dianjurkan pada tahun 2012 di PCU dengan hanya lima universiti yang terlibat dan angka tersebut meningkat kepada 27 universiti pada tahun ini dengan penyertaan seramai 340 peserta dan 30 tenaga pengajar.
Turut mengadakan persembahan adalah peserta ASP UniMAP yang mempersembahkan tarian Canggung, Joget Malaysia dan Malaysia Truly Asia.