- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Tubuhkan Persatuan Woodball
Pauh Putra, 9 April — Penganjuran dua kejohanan besar yang cemerlang dalam sukan woodball mendorong Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menubuhkan Persatuan Woodball di peringkat universiti ini.
Penubuhan persatuan sukan yang tidak asing lagi di kalangan warga negeri itu dilancarkan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin selepas Pertandingan Woodball Antara Jabatan Negeri Perlis bersama UniMAP, di sini, hari ini.
Datuk Kamarudin berkata, berikutan sambutan yang hangat diterima oleh para pelajar dan stafnya, UniMAP mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Woodball ini bagi menggalakkan penglibatan warga UniMAP khususnya pelajar dalam sukan woodball.
“Penubuhan kelab ini bertujuan untuk mengumpulkan dan melahirkan pemain–pemain yang berpotensi bukan sahaja untuk mewakili universiti tetapi turut mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
“Ia juga bertitik tolak dalam merealisasikan hasrat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP yang mencadangkan supaya ditubuhkan Kelab Persatuan Woodball di universiti seluruh dunia,” katanya ketika berucap Merasmikan Penutup Kejohanan Woodball Antara Jabatan Negeri Perlis berkenaan.
Datuk Kamarudin juga percaya, dengan penubuhan persatuan atau kelab Sukan Woodball di Universiti akan menjadi satu usaha yang baik agar pembangunan berterusan sukan tersebut dapat dilaksanakan.
”Walaupun kita sebuah pasukan baharu, tetapi kita amat digeruni pasukan –pasukan universiti lain kerana telah melakar banyak kejayaan pada pertandingan-pertandingan antara universiti Malaysia.
”Antara kejayaan yang diperoleh UniMAP adalah pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 apabila berjaya meraih tiga emas, tiga perak dan satu gangsa dan diikuti kejayaan membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa pada Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2014,”katanya.
Beliau juga yakin, dengan tertubuhnya Persatuan Woodball UniMAP, pencapaian pelajarnya dalam sukan ini akan semakin meningkat.
“Dengan tertubuhnya persatuan ini, kita mensasarkan tiga pingat emas bakal menjadi milik UniMAP pada Kejohanan MASUM 2015 yang dijangka diadakan pada Julai serta empat pingat emas pada SUKIPT 2016 nanti,” katanya.