- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP- JBP Asia Pacific Jalin Kerjasama Komersilkan Harumanis
17 Julai 2013
PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan JBP Asia Pacific Sdn Bhd akan mengadakan kerjasama bagi menjalankan Projek Perintis Pengeluaran Mangga Harumanis Sepanjang Tahun secara Komersil di UniMAP.
Projek tersebut akan melibatkan kawasan berkeluasan 35 ekar di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT), Kampus Sungai Chuchuh, UniMAP.
Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kerjasama itu akan membolehkan pengeluaran Harumanis dapat ditingkatkan secara besar-besaran sepanjang tahun.
“Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memilih syarikat ini untuk bekerjasama dan kita yakin, dengan kerjasama ini akan membolehkan Harumanis dipasarkan ke seluruh dunia suatu hari nanti,”katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara NCIA, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini baru-baru ini.
Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Perjanjian itu menyaksikan pelaburan berjumlah RM1.96 bilion hasil daripada kerjasamanya dengan sektor swasta dalam empat projek di setiap satu daripada empat negeri di bawah bidang NCIA.
Empat projek baharu tersebut melibatkan pembinaan pusat beli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah, pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan, UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.