A+ A A-

Usaha UniMAP Bina Litar Go-Kart Dapat Pujian Senator

ARAU, 25 April (Bernama) -- Usaha Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membina litar go-kart di kampus tetap universiti berkenaan di sini, mendapat pujian Senator Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omar Din.

Megat Zulkarnain berkata usaha UniMAP itu selari dengan hala tuju dan hasrat kerajaan untuk melihat ramai anak muda menerokai bidang yang mencabar ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Mereka akan menjadi orang berilmu, kreatif dan memiliki daya saing serta ketahanan diri. Faktor ini penting bagi sesebuah negara yang berhasrat mencapai taraf negara maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis 'Jom Bakar Litar: UniMAP-Media' di litar go-kart UniMAP di sini, Sabtu. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Megat Zulkarnain berkata beliau akan membangkitkan mengenai pembinaan litar go-kart UniMAP itu pada persidangan Dewan Negara, minggu depan.

"Saya akan membawa perkara ini kerana tidak semua universiti memiliki litar seperti ini. Dalam usaha melahirkan pelajar kaya dengan daya kreatif dan inovasi, perkara seumpama ini perlu dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata litar dibina pada 2013 dan menelan kos sebanyak RM1.2 juta itu, dikendalikan oleh Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran UniMAP.

Litar yang mendapat kelulusan Persatuan Automobil Malaysia itu terbuka kepada orang ramai dengan dikenakan caj penggunaan mengikut kadar ditetapkan.