- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Mula Cabaran SUKIPT 2014
SHAH ALAM, 4 Februari – Kontingen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan cabaran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2014) apabila menjadi pasukan yang ke-89 berbaris masuk ke Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.
Dengan kekuatan kontinjen seramai 170 orang atlit dan pegawai, UniMAP melangkah gagah melintasi pentas tetamu VVIP yang menempatkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Suhizaz Sudin selaku ketua kontinjen.
Dengan membawa imej UniMAP (biru-kuning) dan diiringi maskot Si Pintar, UniMAP mencuri tumpuan para tetamu apabila turut melepaskan belon ke udara sebagai simbolik telah bersedia untuk bersaing dengan kontinjen lain yang mengambil bahagian.
Naib Canselor UniMAP yang turut berada di pentas kenamaan berpuas hati dengan perarakan masuk kontinjen UniMAP yang dianggapnya ceria dan melambangkan imej UniMAP yang sebenarnya.
“UniMAP hebat dalam perbarisan, inilah sebenarnya imej UniMAP dan semua tetamu terpegun dengan perbarisan kontinjen UniMAP. Tahniah kepada semua atlit dan pegawai,” katanya.
Naib Canselor turut meluangkan masa bergambar dengan kesemua atlit dan pegawai UniMAP yang menyertai SUKIPT 2014.
Sebanyak 107 kontinjen melibatkan kira-kira 8,000 atlet mengambil bahagian dalam kejohanan SUKIPT kali ini dengan 24 acara berbanding 16 acara pada penganjuran kali pertama SUKIPT pada 2012.
Pertambahan lapan acara tersebut menjadikan Sukipt 2014 sebagai salah satu kejohanan terbesar dan bertaraf tinggi di negara ini setanding Sukan Malaysia (Sukma).
Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan akan terus memberi sokongan penuh kepada kejohanan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha meningkatkan mutu sukan negara.
Menurut beliau yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, kejohanan seperti SUKIPT dilihat bukan sahaja dapat melahirkan atlet IPT berprestasi tinggi malah menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan perpaduan, membentuk jati diri dan mencapai kecemerlangan.
"Penganjuran kejohanan seperti ini sangat penting dalam melahirkan lebih ramai "The Thinking Athletes" seperti yang telah termaktub dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi," katanya ketika berucap merasmikan SUKIPT 2014.
Beliau berharap kejohanan SUKIPT akan memberi impak menyeluruh kepada perkembangan sukan di IPT negara ini.
"Semoga lebih ramai wira-wira sukan negara dapat dilahirkan yang akan meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara di pentas antarabangsa," katanya.
Beliau berkata SUKIPT akan dilihat berjaya sekiranya muncul muka-muka baharu yang layak mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya ke tahap Sukan Olimpik.