- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Pertahan Kejuaraan Di MTE 2015
KUALA LUMPUR, 15 Februari 2015 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempertahankan kejuaraannya buat kali ke berturut-turut tiga tahun berturut-turut di Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Pada pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, kumpulan penyelidik UniMAP berjaya membawa pulang 10 pingat emas 14 perak dan 10 gangsa serta tiga anugerah khas.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, berkata, pada penyertaan kali ini, UniMAP lebih menumpukan kepada produk-produk yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
“Pada penyertaan kali ini, UniMAP menghantar sebanyak 35 produk, sama seperti tahun lalu dan saya amat bersyukur kerana dengan produk-produk ini, kita dapat mengekalkan kejuaraan malahan tiga produk UniMAP telah berjaya memikat hati juri sekaligus mendapat anugerah khas.
“Dua produk Profesor Dr. Uda Hashim iaitu Salivary Glucose Measurement For Diabetes Mellitus mendapat anugerah khas Croatia INOVA manakala produk HPV Cervical Cancer Sensor Detection Kit meraih anugerah The Very Best Award yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, trofi dan sijil penghargaan,”katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya lagi, satu lagi produk yang meraih anugerah khas The Best Award adalah hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Kenneth Sundaraj yang bertajuk IPOD - Intelligent Pulmonary Online Diagnosi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technology Developement Corporation, Datuk Norhalim Yunus.
MTE 2015 anjuran oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition Sdn. Bhd. disertai lebih 300 produk penyelidikan dari 14 institut penyelidikan awam dan swasta.