A+ A A-

Pusat Islam UniMAP Sediakan 22 Program Sepanjang Ramadhan

ARAU, 15 Jun — Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan, Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah merancang sebanyak 22 program bagi memanfaatkan kehadiran bulan yang mulia tersebut.

Pengarah Pusat Islam UniMAP, Hassan Arshad berkata, semua 22 program yang dirancang ini akan melibatkan kerjasama dari Pusat Tanggungjawab (PTj) yang telah dipilih.

Pusat Islam telah merancang begitu banyak aktiviti yang bermanfaat sepanjang Ramadhan ini, saya menyeru agar semua PTj yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti tersebut dapat melakukan yang terbaik serta berkreativiti.

“Gunakanlah peluang yang ada ini untuk meningkatkan amalan seperti bertadarus, bersedekah, qiyamullail dan sebagainya. Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai banyak kelebihan kita sia -siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah,”katanya ketika berucap merasmikan program Ihya’ Ramadan 1436H di Dewan Kuliah UniMAP, Kampus Pauh Putra, di sini, semalam.

Beliau turut menyeru kepada semua warga UniMAP mengambil peluang melaksanakan berbagai- bagai amal ibadat yang sunat dan fardhu dengan menghayati semaksima mungkin bagi mengumpulkan pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan.

Antara program yang dirancangkan Pusat Islam UniMAP adalah, Seminar Mukmin Profesional III: Pengurusan Harta Pusaka, Faraid dan Hibah, Ahlan Ya Ramadan @ UniMAP. FM, Tadarus Al-Quran, Pertandingan Nasyid, Bicara Muslimah, Sumbangan kepada mangsa banjir, sumbangan bubur lambuk, Forum Agama Nuzul Al-Quran; Kutipan Zakat; Ihtifal Ihya’ Ramadan, Solat Jumaat bersama masyarakat Perlis; Khatam Al-Quran;Jejak Ukhwah; Ifthor Jamaei Kolej Kediaman; Ifthor Jamaei bersama pelajar antarabangsa dan lain-lain lagi.

Terdahulu, di dewan yang sama, Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Pengajian Komputer dan Perhubungan UniMAP menganjurkan Seminar Mukmin Profesional III: Pengurusan Harta Pusaka, Faraid dan Hibah.

Kira-kira 100 warga UniMAP serta Pejabat Tanah dan Galian negeri Perlis mengikuti seminar selama sehari tersebut.

Pusat Islam

Pusat Islam

Pusat Islam