- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Program Tadarus Al-Quran Erat Hubungan Warga PNC Di Bulan Ramadhan
Kangar, 23 Jun - Sempena bulan Ramadhan ini, Pejabat Naib Canselor (PNC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut mengambil inisiatif mengadakan program tadarus al-Quran di kalangan kakitangannya.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata tujuan tadarus diadakan setiap tahun sepanjang bulan Ramadhan ini adalah sebagai salah satu langkah mengeratkan hubungan di antara warga PNC tanpa mengira pangkat dan usia. Katanya, selain itu program sebegini dapat mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dalam bulan yang penuh barakah itu.
Program tadarus al-Quran ini juga dapat menimbulkan kesedaran agar tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja pejabat ini, katanya selepas mengetuai program berkenaan bersama kakitanganPejabat Naib Canselor, di sini hari ini.
Menurut Datuk Kamarudin, selain PNC, pusat tanggungjawab (PTj) yang lain turut mengadakan program tadarus itu di setiap PTj masing-masing dengan pembahagian juzuk oleh Pusat Islam UniMAP. Khatam al-Quran juga bakal diadakan secara berkelompok dan berharap setiap PTj merealisasikan program tadarus serta khatam al-Quran ini, katanya.
Terdahulu, UniMAP menerusi Pusat Islam telah merancang 22 program sepanjang bulan Ramadhan termasuk program tadarus berkenaan selain Bicara Muslimah, Pertandingan Nasyid Antara Jabatan, Majlis Tilawah Al-Quran, Ihtifal Ihya Ramadhan dan lain-lain lagi.