- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Edar Lebih 10,000 Bungkusan Bubur Lambuk
KANGAR, 23 Jun - Sempena mengambil keberkata bulan Ramadhan, Universiti Malaysia Perlis melalui Pusat Islamnya mengedarkan lebih 10,000 bungkusan bubur lambuk yang akan diedarkan dalam tiga fasa mulai hari ini.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, fasa pertama edaran akan melibatkan warga Hospital Tuanku diikuti tujuh rumah kebajikan, rumah warga emas dan anak-anak yatim pada 30 Jun ini manakala fasa terakhir (6 Julai) akan melibatkan pelajar-pelajar di empat buah sekolah agama (berasrama) di negeri Perlis.
Jelas beliau, lebih istimewa lagi, bubur lambuk yang dieadarkan ini dimasak sendiri oleh warga kerja UniMAP mengikut penggiliran yang telah ditetapkan termasuk proses penyediaan bahan mentah sehinggalah pembungkusan.
“Edaran bubur lambuk ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti (USR) yang telah menjadi tradisi semenjak UniMAP dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) lagi.
“Untuk kali ini, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) dan Jabatan Perpustakaan telah diberikan tanggungjawab mengetuai aktiviti gotong-royong dengan dibantu oleh kakitangan Pusat Islam dan Jabatan Keselamatan UniMAP,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain penyediaan dan edaran bubur lambuk, UniMAP turut menganjurkan 22 program lain khusus untuk mengimarahkan bulan Ramadhan antaranya pertandingan Tilawah Al-Quran, Tadarus Al-Quran, Pertandingan Nasyid Antara Jabatan, Program Solat Jumaat Bersama Masyarakat Perlis dan sumbangan bantuan mangsa banjir.
Sementara itu, Dekan FTK, Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali berkata, sebanyak 10 periuk bubur lambuk dimasak hari ini dengan membabitkan tenaga kerja seramai hampir 80 orang yang terdiri daripada staf pentadbiran dan akademik FTK.
“Kami berbangga dapat menjayakan USR seperti ini khusus untuk menyediakan juadah berbuka yang sederhana kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, aktiviti sebegini juga merupakan medan terbaik untuk merapatkah ukhuwah antara warga pentadbiran dan akademik FTK,” ujarnya.