A+ A A-

Jangan Sebar Semua Maklumat Diterima Di Laman Sosial - Dr. Abdulrahman M. Albelaihi

Kangar,  3 Julai - Umat Islam seharusnya tidak menyebarkan kesemua maklumat yang diterima menerusi laman-laman sosial meskipun mengetahui perkara itu benar jika ia lebih banyak memberi keburukan.

Kaunselor Majlis Agama Islam Arab Saudi, Dr. Abdulrahman M. Albelaihi berkata, apatah lagi jika sesuatu berita itu tidak benar kerana mendatangkan fitnah.

Kata beliau, menyebarkan keburukan orang lain dan fitnah merupakan dosa besar dan antara dua daripada tiga penyakit lidah yang berleluasa ketika ini.

"Penyakit lidah yang ketiga adalah mengumpat. Justeru umat Islam digalakkan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan apa sahaja maklumat yang diterima menerusi laman sosial," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan zakat daripada kerajaan Arab Saudi kepada 150 penerima yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan saudara muslim baharu di Dewan Kapitol, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Kesemua penerima memperoleh sumbangan pakaian, makanan dan wang tunai RM100 seorang dari Pejabat Kedutaan Arab Saudi, UniMAP dan Persatuan Dakwah Islamiah Malaysia (PEDIM).

Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin,Ketua Pegawai Eksekutif PEDIM, Mubarak Ali Mohd Ibrahim dan Pengerusi PEDIM,  Dato' Alim Panglima Mat Jahaya Hussin.

Dr, Abdulrahman berkata, media arus perdana boleh menjadi medium terbaik untuk mendidik masyarakat supaya memastikan kesemua berita disiarkan dapat memberi kebaikan kepada negara.

"Syukur kerana media di Malaysia berperanan baik kerana telah mendidik masyarakat dengan berita yang positif untuk kebaikan negara," katanya yang bertugas di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Datuk Kamarudin berkata setiap tahun UniMAP menganjurkan majlis penyerahan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim dari UniMAP sendiri, sekolah-sekolah angkat UniMAP dan pertubuhan anak yatim sekitar negeri ini.

Katanya, ia adalah salah satu tanggungjawab sosial universiti (USR) bagi menceriakan anak-anak yatim, golongan fakir miskin dan saudara baharu untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.

Jangan Sebar Semua Maklumat Diterima Di Laman Sosial-Dr. Abdulrahman M.Albelaihi

Jangan Sebar Semua Maklumat Diterima Di Laman Sosial-Dr. Abdulrahman M.Albelaihi