A+ A A-

Graduan UniMAP Dapat Pekerjaan Meningkat Kepada 88.34 Peratus

PAUH PUTRA (ARAU), 25 Julai (Bernama) -- Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berjaya mendapat pekerjaan meningkat kepada 88.34 peratus sehingga pertengahan tahun ini, berbanding kira-kira 75 peratus tahun lepas.


Naib Canselor UniMAP Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata peningkatan memberangsangkan itu adalah kerana kualiti graduan universiti berkenaan yang dapat memenuhi kehendak pasaran.

Beliau berkata angka itu berdasarkan 'Tracer Study' yang diisi oleh graduan sehingga 1 Julai lepas, bagi mereka yang mendapat pekerjaan, melanjutkan pengajian atau meningkatkan kemahiran.

"Dari 88.34 peratus itu, 70 peratus mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat multinasional seperti Intel, First Solar, AMD dan B. Braun," katanya semasa berucap pada Konvokesyen ke-10 UniMAP, di kampus tetap universiti tersebut, di sini, hari ini.

Tuanku Pro-Canselor UniMAP yang juga Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat untuk menyampaikan skrol Diploma kepada 366 graduan.

Kamarudin berkata QS Star Rating memberikan UniMAP tiga bintang pada tahun lepas dan daripada lapan domain penilaian, kualiti pelajaran dan fasiliti adalah bertaraf lima bintang.

UniMAP juga memperbaiki kedudukan QS Asia Universities Rating 2015 kepada kedudukan ke-227 berbanding 243 tahun lepas, katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Korporat dan Hubungan Luar Silterra Malaysia Sdn Bhd (Silterra), Tahiruddin Tun Hamdan yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains pada majlis konvokesyen itu berkata kejayaan UniMAP adalah kerana silibus dan sistem pendidikan universiti itu memenuhi kehendak industri.

"Dalam tempoh 10 tahun penglibatan Silterra-UniMAP, kami menjalankan kerjasama strategik bagi memperkasa peranan UniMAP dalam aspek penyelidikan, inovasi, perundingan dan pengkomersialan reka cipta.

"Kerjasama Silterra-UniMAP adalah bagi memenuhi aspirasi kerajaan ke arah negara maju menjelang 2020," katanya.

-- BERNAMA

-- HARIAN METRO