Tekad Anak Pemasang Jubin - Graduan jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik UniMAP Raih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor
Arau: Kehidupan keluarga yang serba kekurangan menjadi dorongan buat graduan jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik untuk berusaha gigih bagi mencapai kejayaan sehingga dikurniakan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-10 di sini semalam.
Muhammad Asri Abdul Ghani, 21 dari Kuantan, Pahang berkata, pengalaman membantu bapanya bekerja memasang jubin di rumah pelanggan pada usia belasan tahun memberi kekuatan kepada dirinya untuk cekal dalam pengajian supaya menjadi insan berguna.
Katanya, kegigihan dan ketelitian yang sering ditunjukkan oleh bapanya ketika melakukan kerja juga dijadikan panduan ketika menghadapi pelajaran kerana perkara sukar jika dilakukan secara berulang kali akan menjadi mudah untuk diselesaikan.
"Saya cuba fokus dalam pelajaran. Memang ada kalanya saya juga pernah putus semangat dan gagal dalam ujian. Selepas memikirkan kembali tujuan saya belajar ialah untuk membantu kembali keluarga selepas berjaya nanti akhirnya saya mendapat motivasi untuk berubah," katanya.
Muhammad Asri yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata demikian ketika ditemui selepas menerima skrol daripada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor universiti terbabit di Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra di sini.
Pada majlis yang sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menyampaikan Ijazah Kehormat Sarja Sains kepada Pengurus Kanan Pembangunan Koporat dan Hubungan Luar syarikat Silterra Malaysia Sdn Bhd, Tahiruddin Tun Hamdan.
Turut Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr Kamarudin Hussin.
Seramai 366 orang graduan membabitkan enam program pengajian menerima diploma masing-masing sepanjangn konvokesyen berkenaan.
Menurut Asri dia yang meminati kerjaya sebagai juruterbang sejak dari kecil kerana peluang untuk mengembara ke luar negara selain pendapatan lumayan melupakan niat itu kerana yuran pengajian yang terlalu tinggi walaupunpun pernah mendapat tawaran sebagai kadet penerbangan di sebuah institusi di Melaka sebelum ini.
Katanya , impiannya kini mahu berjaya dalam pengajian bagi mencari pekerjaan yang boleh membantu kembali kedua-dua ibu bapanya.
"Tidak dapat dinafikan, saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepengajian dan juga pensyarah ketika saya tidak dapat memberi tumpuan terhadap bidang pengajian saya iaitu kejuruteraan elektrik yang sememangnya mencabar, namun kekuatan kembali selepas terfikir nasib keluarga saya yang harus saya perjuangkan,
"Jadikanlah keluarga sebagai faktor utama untuk kita berjaya dalam pelajaran dan hidup. Dengan itu, niat kita untuk belajar akan menjadi ikhlas," pesan Muhammad Asri yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Oii Chui Yee, 21 dari Kedah berkata, kegagalan yang pernah dihadapinya semasa berhadapan dengan ujian dan ketika menyiapkan tugasan bukanlah suatu pengalang bagi dirinya untuk terus berusaha mendapat keputusan yang lebih cemerlang.
"Gagal sekali bukan bererti gagal untuk selama-lamanya. Kegagalan merupakan suatu batu loncatan untuk kita mengenal kesilapan dan memperbaiki diri bagi mendapat keputusan yang lebih baik," kata graduan Diploma Kejuruteraan Microelektronik.
-- HARIAN METRO