A+ A A-

Graduan Perlu Bersedia Hadapi Persaingan Pasaran Kerja - Raja Puan Muda Perlis

ARAU, 25 Julai (Bernama) -- Persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan menuntut bakal graduan mempersiapkan diri untuk diterima dalam pasaran kerja, titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Menurut baginda dalam perkembangan sekarang majikan mempunyai banyak pilihan selain mengenakan pelbagai syarat ketat dan graduan yang berketrampilan serta berkebolehan sahaja akan ditawarkan pekerjaan.

"Saya ingin mengingatkan kemahiran insaniah atau 'soft skills' seperti kemahiran berkomunikasi, interpersonal, kebolehan analatikal dan intelektual serta pengalaman yang diperolehi secara formal atau tidak formal adalah penting.

"Nilai-nilai ini menjadikan graduan-graduan lebih kompetensi," titah Tuanku Lailatul Shahreen merangkap Tuanku Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada majlis konvokesyen ke-10 di Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini Sabtu.

Keberangkatan baginda sebelum itu disambut oleh Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin serta para peawai kanan universiti.

Pada majlis itu baginda berkenan menyampaikan diploma kepada 68 graduan jurusan Kejuruteraan Komputer; 59 graduan Kejuruteraan Mikroelektronik dan 56 graduan Kejuruteraan Elektrik.

Baginda juga berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sains kepada Pengarah Kanan, Pembangunan Korporat dan Hubungan Luar Silterra Malaysia Sdn Bhd, Tahiruddin Tun Hamdan.

Turut menerima anugerah daripada Tuanku Lailatul Shahreen ialah penerima Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah Pelajaran Industri, Hadiah Inovasi dan Hadiah Buku.


-- BERNAMA