- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
Graduan Perlu Jujur, Amanah Dan Ikhlas - Raja Puan Muda Perlis
ARAU, 26 Julai (Bernama) - Graduan perlu memiliki sikap jujur, ikhlas dan amanah bagi menjadi insan yang berupaya memenuhi aspirasi masyarakat, titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menurut baginda, dalam persekitaran yang kompetitif sekarang, manusia sanggup membuat apa sahaja untuk bersaing dengan kadang kala sifat kejujuran, keikhlasan dan amanah diketepikan demi memenuhi kepentingan peribadi mereka.
"Kejadian seperti pecah amanah dan rasuah adalah berpunca akibat hakisan sifat tersebut dalam diri anggota masyarakat," titah baginda yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada sidang kedua majlis konnvokesyen ke-10 (UniMAP) di Kampus Pauh Putra di sini semalam.
Tuanku Lailatul Shahreen menyeru graduan agar turut meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam berbagai bahasa dan memiliki kemahiran lain sebagai nilai tambah untuk meningkatkan kualiti diri mereka.
Pada sidang kedua itu, baginda menyampaikan diploma kepada 193 graduan sementara pada sesi pagi, baginda menyampaikan diploma kepada 173 graduan.
-- BERNAMA