- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Kembangkan Kerjasama Dengan Institusi Pendidikan di Indonesia
Surabaya (Indonesia), 2 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) memperluaskan hubungan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan teknologi, elektronik dan pembuatan berasaskan bahan hijau dengan dua buah institusi pendidikan di Indonesia.
Hasil perbincangan awal, UniMAP dan Petra Christian University (PCU) serta Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) bersetuju untuk meneroka kerjasama baru yang mana sebelum ini hanya bertumpu kepada aspek penyelidikan dan penerbitan jurnal.
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik UniMAP, Prof. Madya Dr. Rizalafande Che Ismail berkata, kerjasama tersebut merangkumi penganjuran seminar antarabangsa bersama UniMAP – ITS dalam bidang geopolimer dan bahan hijau yang dijadualkan berlangsung di UniMAP pada tahun hadapan.
Selain itu, ujar beliau, UniMAP dan ITS juga telah bersetuju untuk memperkasakan pelajar Pascasiswazah melalui penganjuran kem musim panas yang akan memberi fokus kepada aspek penyelidikan, penerbitan dan penghasilan jurnal yang dijadualkan tahun hadapan di ITS.
“Satu lagi kerjasama UniMAP-ITS ialah untuk menyediakan peluang latihan industri bagi pelajar UniMAP dalam bidang elektronik di Surabaya mulai tahun ini,” ujar beliau selepas mengadakan lawatan kerja ke ITS sempena Seminar Antarabangsa Kejuruteraan Teknologi, Bahan Hijau Elektronik dan Pembuatan Reka Bentuk Hijau di Hotel Swiss Belinn di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Institut Nanoteknologi UniMAP, Prof. Uda Hashim, Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Industri & Kerajaan UniMAP, Dr. Norhafiza Mohamad dan Pengurus CEGeoGTech, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustaffa Al-Bakri Abdullah.
Seminar yang memfokuskan kepada tiga bidang utama teknologi hijau itu berjaya menerima 120 kertas kerja yang bakal diterbitkan dalam jurnal berindeks scopus serta dihadiri oleh 80 orang peserta.
Dalam pada itu, menurut Dr. Rizalafande lagi, bagi kerjasama UniMAP PCU pula, kedua-dua institusi bersetuju untuk menganjurkan program khas yang akan memberi tumpuan dalam aspek cabaran dan pendedahan industri di Malaysia dan Indonesia.
“Program yang dinamakan SPICE ini dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan di PCU dengan sasaran peserta di kalangan ahli akademik dan pengamal industri.
“Dengan penganjuran kesemua program ini, UniMAP amat berharap kerjasama Malaysia-Indonesia akan menjadi lebih erat sekaligu memacu pertubuhan teknologi hijau di kedua-dua negara,” jelas beliau lagi.