A+ A A-

Litar Go-Kart UniMAP Raih Augerah UCTC

PUTRAJAYA, 14 Ogos – Komitmen dan kesungguhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam memupuk minat sukan go kart di negara ini terutama di kalangan generasi muda diiktiraf selepas meraih Anugerah Penghargaan Pusat Tranformasi Komuniti Universiti (UCTC) bagi kategori Sukan dan Rekreasi.

Pengarah Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP, Dr. Shariman Abu Bakar berkata, anugerah yang diraih bakal menjadi pemangkin untuk pasukannya lebih bersemangat dan terus aktif mempromosikan sukan permotoran terutama di kalangan pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

“Saya amat bertuah kerana mempunyai staff yang sangat komited dalam melaksanakan tugas sekaligus membantu kejayaan Litar go kart UniMAP.

“Terima kasih juga kepada Naib Canselor UniMAP, Datuk Kamarudin Hussin kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui MoTECH UniMAP”, katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Penghargaan UCTC 2015, di Dewan Zaaba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ujarnya lagi, kejayaan yang diraih itu juga adalah hasil sokongan kuat  dari Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd (Modenas) yang sentiasa membantu memberikan bantuan khidmat nasihat dan peralatan sukan permotoran dan UCTC UniMAP.

Majlis Perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Dato, Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiasuaha KPT,Dato' Nasir Bin Mat Dam dan Pengerusi Majlis Anugerah Penghargaan UCTC 2015, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah.

Majlis Anugerah Penghargaan UCTC 2015 yang diadakan bersempena Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia 2015 bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada program-program komuniti cemerlang dalam mengaplikasikan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu, kos minima, perlaksaan pantas, berimpak tinggi dan mampan.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan melibatkan 186 projek iaitu, Edu Tourism, ICT dan Teknologi, Kebajikan Sosial, Kesihatan, Keusahawanan, Memelihara Warisan dan Kebudayaan Negara, Pembangunan Alam Sekitar, Pendidikan, Pengurusan Risiko dan Bencana, Sukan dan Rekreasi, UCTC-RTC, Agensi Kerajaan, Industri Korporat, Komuniti, NGO dan Persatuan Pelajar.

Sementara itu, tiga lagi projek UniMAP,  ACELink: A High Speed WiFi and Wireless Distribution, (Prof. Madya Dr. Faizal Jamlos); Nano DNA Chips For Early Detection of Cervical Cancer (Prof. Dr. Uda Hashim) dan Artificial Marble (Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali) turut tersenarai sebagai antara tiga projek terbaik bagi kategori ICT dan Teknologi, Kesihatan serta UCTC-RTC.

MoTECH UniMAP