- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Klinik Go Kart MoTECH UniMAP ke Putrajaya
PUTRAJAYA, 15 Ogos –Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah lebih jauh dengan menganjurkan klinik asas Go Kart di luar dari kawasan litarnya dengan destinasi pilihan di Putrajaya.
Pengarah MoTECH UniMAP, Dr. Shariman Abu Bakar berkata, sambutan yang diterima dari peserta di sekitar Lembah Klang amat memberangsangkan.
“Ini merupakan langkah pertama kita untuk berkongsi ilmu mengenai go kart dengan masyarakat luar Perlis.
“Dari sambutan yang diterima, saya yakin, kita mampu untuk menganjurkan lebih banyak klinik go kart dan memupuk minat sukan ini di kalangan remaja,” katanya ketika ditemui pada Klinik Asas Go Kart sempena Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia (HEWM) 2015, di sini, semalam.
Ujar Dr. Shariman lagi, Klinik Asas Go Kart yang diadakan selama sehari itu telah disertai seramai 31 peserta dan salah seorang daripadanya adalah pesakit Autisme.
Sementara itu, bagi Johan Iskandar Iskandar Zulkarnain, murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, berasa teruja selepas mengikuti klinik gokart tersebut.
“Walaupun saya pernah memandu gokart sebelum ini, tetapi ia tidak sama dengan pengalaman yang saya perolehi semasa mengikuti klinik gokart selama sehari ini.”katanya.
Bagi Nurdini Adriana Shamsul Ehsan, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, berkata, pengalaman memandu gokart buat kali pertama amat menyeronokkan.
“Ia sesuatu yang baharu bagi saya dan jika ada lagi penganjuran klinik seperti ini di masa akan datang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya lagi,”katanya.
Nik Ahmad Aqeel Nik Mohd Asyikin, 11, dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Salak Tinggi pula berkata, simulator yang disediakan pada klinik gokart itu memberikan pengalaman seperti memandu gokart yang sebenar.
“Sebelum memandu gokart yang sebenar, semua peserta diberikan peluang untuk menggunakan simulator yang disediakan, ia merupakan pengalaman yang amat menyeronokkan kerana ia seperti memandu gokart yang sebenar,”katanya lagi.