- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pelajar Antarabangsa UniMAP Ungguli One World Culture
PUTRAJAYA, 17 Ogos – Para pelajar Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencuri tumpuan pengunjung Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia (HEWM) 2015 sekaligus berjaya mengungguli pertandingan 1 World Culture yang berlangsung di sini kelmarin.
Menerusi lagu yang dipopularkan oleh Seniman Ahmad Jais, “Mengharap Sinar, Menelan Kabus”, Shehabaddin Galal Hael, 23, yang berasal dari Yemen berjaya memukau para juri dan pengunjung HEWM 2015 menerusi kelunakan dan lenggok melayu aslinya seterusnya menepati ramalan untuk muncul juara bagi kategori nyanyian.
Beliau yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Pusat Pengajian Mekatronik UniMAP membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan. Beliau juga merupakan antara 10 peserta terbaik Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang berlangsung awal bulan lalu.
Menurut Shehabaddin, semenjak menyambung pengajian di UniMAP pada tahun 2011 yang lalu, beliau sentiasa mengambil peluang untuk mempelajari adat resam dan budaya masyarakat di negara ini termasuk menguasai bahasa kebangsaan.
Jelas beliau, penerimaan masyarakat terhadap pelajar antarabangsa turut berbeza apabila mendapati pelajar berkenaan dapat menguasai bahasa tempatan.
“Saya gembira menjadi sebahagian daripada warga UniMAP dan berpeluang menghiburkan pelbagai peringkat masyarakat dari Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sehinggalah ke rakyat jelata.
“Insya Allah, saya akan terus berada di UniMAP sehingga tamat pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dan jika diizinkan akan terus menabur khidmat bakti di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, UniMAP turut meraih tempat kedua menerusi kategori tarian yang diwakili oleh para pelajar dari Uzbekistan menerusi tarian gabungan tradisional Malaysia-Uzbekistan. Pasukan Tarian UniMAP tumpas kepada pelajar antarabangsa dari Universiti Teknologi Petronas.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan yang diraih itu adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan persaingan sengit yang bakal diterima daripada universiti-universiti lainnya terutama universiti swasta.
Ujar beliau lagi, ia juga membuktikan pelajar antarabangsa di UniMAP sentiasa di beri peluang untuk menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian pelajar-pelajar antarabangsa ini dan saya percaya kejayaan ini sesuatu yang manis untuk mereka semua selepas menghabiskan masa yang banyak untuk sesi latihan dan pada masa sama mengikuti pengajian,” katanya sambil menambah kejayaan itu adalah hasil kerjasama Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP, Unit Kebudayaan dan Rekreasi serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.
1 World Culture merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Nilai dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Sebanyak 11 buah Institusi Pengajian Tinggi mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut antaranya Asia Pacific University, Universiti Tunku Abdul Rahman, Sunway University dan Universiti Malaysia Sarawak.