- Kategori: BERITA - Malay
154 Pegawai Kadet Palapes UniMAP Ditauliahkan
SERDANG: Seramai 154 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah ditauliahkan bersama 1,628 pegawai kadet daripada 18 universiti awam (UA),baru-baru ini.
Majlis Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-34, yang bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM), disempurnakan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mewakili DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda menitahkan semua pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang ditauliahkan sebagai pegawai tentera simpanan supaya meneruskan kerjaya itu.
“Beta berkehendakkan segala ilmu yang diperoleh sepanjang tiga tahun berada di PALAPES digunakan dan diperkemaskan bagi menghadapi sebarang cabaran.
“Beta juga menyeru kepada saudara-saudari (pegawai kadet) melaksanakan segala amanah diberikan sebagai satu cabaran yang mesti ditangani dengan baik dan bijaksana,” Titah baginda.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Naib Canselor, merangkap Komandan Palapes UniMAP, Briged. Jen. Datuk Profesor Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Komandan Palapes UniMAP, Leftenan Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli hadir sama mewakili UniMAP.
Baginda juga bertitah kerjaya itu perlu diteruskan sama ada dalam Angkatan Tetap atau Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia supaya ilmu diperoleh tidak disia-siakan.