A+ A A-

Wahid Hashim Bentang Solidariti Kumpulan Utusan

Pauh Putra, 21 Ogos – Utusan Melayu (M) Berhad melalui Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim telah membentangkan mengenai Komuniti Solidariti Utusan yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan kesukarelaan bagi organisasi korporat tersebut.

Menurut Wahid, atas inisiatif dua tonggak utama iaitu Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Noordin Abas dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak, pihak syarikat memulakan strategi dan wajah baru Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menubuhkan gerakan solidariti Kumpulan Utusan pada penghujung tahun 2014.

“Antara fokus utamanya menyemai semangat kesukarelawanan membabitkan semua staf merentas jabatan dan semua anak syarikat kumpulan Utusan tanpa mengira sempadan jawatan dan gelaran.”

“Jika sebelum ini banyak program CSR hanya digerakkan oleh kelompok prihatin tertentu dalam skala yang terhad, maka gerakan solidariti telah memecah konvensional ini kepada satu gerakan bersepadu sehingga mencetuskan magnitude CSR yang semakin kuat dirasai gegarannya, sekaligus sebagai petunjuk bahawa kerja kesukarelawanan semakin bersebati dan semakin mudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Perkongsian Projek Kesukarelaan Terbaik dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat/Universiti (VCORE) yang diadakan di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini pagi tadi.

Tambah Wahid lagi, Kumpulan Utusan membuat keputusan untuk tidak berpeluh tubuh dan sekadar membuat laporan apabila pihak pengurusan membuat keputusan untuk melaksanakan misi bantuan banjir di Kelantan dan Pahang yang dilanda bah besar.

Pasukan Solidariti Kumpulan Utusan dan rakan strategik berkonvoi ke kawasan yang musnah dilanda banjir di Kuala Krai, Dabong, Temerloh dan Jerantut.

“Tabung Misi Bantuan Banjir dilancarkan Utusan Malaysia berjaya mengumpul RM240,000 dalam masa yang singkat, serta tambahan peruntukan sumbangan RM100,00 daripada kumpulan Utusan dan sumbangan ini belum termasuk sumbangan pelbagai bentuk barangan yang memenuhkan lori dan beberapa kenderaan pacuan empat roda kami,” katanya.

Malah beliau turut berkongsi perancangan yang dilakukan oleh Pasukan Solidariti Kumpulan Utusan sebelum misi tersebut dijalankan dengan mengariskan beberapa perkara penting.

“Sebelum misi berlangsung, pasukan tinjau diketuai pengerusi solidariti berangkat untuk melakukan kajian keperluan dengan mengenal pasti magnitude bencana; mengkaji sensitiviti setempat; melihat aspek logistik dan persiapan mental yang perlu; mengkelaskan kelompok sasaran umum dan khusus; cara pengagihan dan skop bantuan; dan kesesuaian misi pembersihan.

Selepas bantuan diberikan, ianya tidak terhenti di situ bilamana mereka kembali ke kawasan tersebut untuk mengadakan majlis Aidilfitri ke padang awam di pedalaman Manik Urai di Kelantan, selain turut meraikan kira-kira 100 anak yatim dan spastik di sekitar kawasan banjir di Temerloh dengan membawa kesemua mereka membeli persalinan lengkap serta duit raya bagi menceriakan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Turut melakukan pembentangan CSR adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah 1Malaysia For Youth (iM4U), Yang Berhormat Dato’ Haji Irmohizam Ibrahim; Penerbit Bersamamu TV3, Hajah Mazlin Nordin; dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Abdul Malik Hussin; dan Presiden MASTI, Azri Hohad.

Seminar yang julung kali diadakan ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan, korporat dan NGO seperti BTN, MAIPS, KEMAS, CIDB termasuk para artis dibawah naungan Zeel Production.

Ianya menekankan konsep perkongsian yang bertujuan untuk berkongsi projek-projek USR dan kesukarelawan yang pernah dijalankan oleh semua UA bagi mencari amalan terbaik.

Selain seminar, turut diadakan satu program USR yang mensasarkan masyarakat tempatan yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam meneruskan kehidupan seharian dan meningkatkan kualiti gaya hidup yang kondusif.

Malah bagi memeriahkan lagi program ini dan menunjukkan keprihatinan pelbagai lapisan masyarakat ke atas pembudayaan program USR turut diadakan perlawanan amal bola sepak dan bola jaring yang melibatkan wakil MASTI dan Zeel Production. Antara selebriti yang dijangka terlibat adalah Hairi Anak Wayang, Zain Saidin, Abdulrahman Suud, Reza Hasbi, Sherry Ibrahim, Aishah Ilias dan ramai lagi.