A+ A A-

Pasukan Sukarelawan Tidak Boleh Berada Dalam Zon selesa – Raja Muda Perlis

Arau, 21 Ogos - Semua petugas serta pasukan sukarelawan sama ada badan Kerajaan, Swasta dan NGO sewajarnya tidak terus berada dalam zon ‘selesa’ tetapi sentiasa bersedia berdepan dengan bencana.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pasukan harus berinisiatif apabila berhadapan bencana dan perlu mengutamakan beberapa aspek, antaranya, sokongan fizikal; sumber manusia; penglibatan pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO); dan sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan.

“Selama ini kita menggerakkan pasukan secara bersendirian, dan keadaan ini memperlihatkan berlakunya kepincangan dalam menyalurkan bantuan apabila sesuatu bencana berlaku.

“Selain itu elemen integrasi juga harus diberikan tumpuan penting dalam menggerakkan misi kemanusiaan. Jangan nanti ada pasukan yang pergi tetapi tanpa persediaan secukupnya sehingga akhirnya petugas sukarela itu yang perlu dibantu,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seminar Perkongsian Kesukarelaan dan Projek Tanggungjawab Sosial (VCORE) 2015 anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Yang turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Abdul Malik Hussin; dan Presiden MASTI, Azri Hohad.

Seminar yang julung kali diadakan ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan, korporat dan NGO seperti BTN, MAIPS, KEMAS, CIDB termasuk para artis dibawah naungan Zeel Production.

Ianya menekankan konsep perkongsian yang bertujuan untuk berkongsi projek-projek USR dan kesukarelawan yang pernah dijalankan oleh semua UA bagi mencari amalan terbaik.

Selain seminar, turut diadakan satu program USR yang mensasarkan masyarakat tempatan yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam meneruskan kehidupan seharian dan meningkatkan kualiti gaya hidup yang kondusif.

Pada seminar tersebut, empat tokoh dijemput melakukan pembentangan CSR iaitu Ahli Lembaga Pemegang Amanah 1Malaysia For Youth (iM4U), Yang Berhormat Dato’ Haji Irmohizam Ibrahim; Penerbit Bersamamu TV3, Hajah Mazlin Nordin; Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Faizuddin menzahirkan rasa gembira apabila MASTI mengambil inisiatif untuk menghimpunkan semua persatuan pentadbir universiti bagi berkongsi dan mencari formula terbaik melaksanakan misi ini yang dikenali sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan lebih fokus sebagai Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

“Saya berhasrat melihat MASTI mewujudkan pasukan pakar untuk dijadikan kumpulan utama jika berlakunya bencana. Ini kerana difahamkan MASTI mempunyai keahlian dari setiap Universiti Awam (UA) yang terdiri daripada pelbagai skim seperti jurutera, pegawai perubatan, pegawai psikologi, kewangan, teknologi maklumat dan sebagainya yang cukup lengkap untuk menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman agar aktiviti USR yang dilaksanakan lebih teratur dan komprehensif,” ujar baginda.

Sementara itu, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapannya percaya bahawa salah satu cara untuk memperhebatkan lagi budaya kesukarelaan adalah dengan menjadikan CSR sebagai medium terbaik.

Malah pengenalan istilah USR adalah untuk memberi impak kepada peranan dan inisiatif yang dijalankan warga universiti dalam membantu masyarakat.

Walaubagaimanapun, beliau berharap agar setiap bantuan yang dihulurkan harus mempunyai nilai keikhlasan yang tinggi.

“Apapun bentuk bantuan yang dihulurkan haruslah datang dari hati yang ikhlas dan diikuti dengan kegigihan dan kesepakatan dalam menjayakan sesuatu projek USR pastinya melebihi dari jangkauan minda dan keringat kita semua,” katanya.