A+ A A-

Pasukan Tenpin Boling UniMAP Cemerlang Di SUKUM

Shah Alam, 22 Ogos – Pasukan Tenpin Boling Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-40 apabila meraih tujuh daripada 15 pingat emas yang dipertandingkan.

Lebih membanggakan, pasukan senior lelaki menyapu bersih kesemua lima pingat emas termasuk mengungguli acara masters lelaki apabila pemainnya Mohd. Zulfauzi Mohd Sawal yang mencatatkan 1890 jatuhan pin menumpaskan Mohd Bakri Hussin dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mencatatkan 1741 jatuhan pin.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Suway Megalanes itu, UniMAP turut meraih pingat gangsa kategori masters lelaki menerusi Nurakmal Ramli yang mencatatkan 1734 jatuhan pin.

Pasukan senior lelaki UniMAP turut meraih empat lagi pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, berpasukan lelaki dan all event lelaki. Dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Noor Amirah Mohamed menerusi kategori perseorangan wanita dan masters wanita.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr Kamarudin Hussin berkata, kejayaan membolot semua pingat emas bagi kategori lelaki senior amat membanggakan memandangkan pasukan UUM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memiliki pemain bertaraf profesional yang sering menyertai kejohanan terbuka.

“Namun saya yakin, kosentrasi pemain berada tahap terbaik dan bermain dengan cemerlang untuk membantu UniMAP muncul juara keseluruhan bagi acara boling,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain tenpin boling, UniMAP turut muncul juara keseluruhan bagi acara olahraga menerusi 18 pemas, sembilan perak dan 11 gangsa yang berakhir Khamis lalu serta acara boling padang lelaki.

Menurut Kamarudin, ketiga-tiga acara ini merupakan acara yang menjadi sasaran pingat UniMAP pada kejohanan kali ini yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selain itu, UniMAP turut meraih pingat perak bagi acara bola tampar lelaki serta dua pingat gangsa menerusi boling padang wanita dan bola tampar wanita,” katanya.

UniMAP turut mensasarkan emas menerusi acara bola sepak lelaki yang akan berlangsung petang ini di Padang Stadium UiTM apabila pasukan UniMAP turun menentang Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kejohanan SUKUM kali ini disertai oleh 20 Universiti Awam (UA) termasuk KPM yang menyertainya buat kali terakhir tahun ini.