A+ A A-

UniMAP Dinobat Juara SUKUM 2015

Shah Alam, 23 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-40 sekaligus mengekalkan status juara bertahan untuk kali kelapan berturut-turut pada majlis penutup di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.

UniMAP muncul juara keseluruhan selepas menjuarai enam acara sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga lelaki senior, olahraga wanita senior, tenpin bowling lelaki senior, tenpin bowling wanita senior, bola sepak lelaki senior dan boling padang lelaki senior.

Tempat kedua menjadi milik tuan rumah, UiTM manakala tempat ketiga menjadi milik Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, empat acara sukan yang disertai UniMAP turut berjaya meraih gelaran naib juara iaitu bola tampar lelaki senior, basikal bukit lelaki, olahraga wanita veteran dan futsal wanita manakala dua acara lagi di kedudukan ketiga iaitu bola tampar wanita senior dan boling padang wanita senior.

Ujar beliau, secara keseluruhannya, pasukan UniMAP meraih 29 emas, 14 perak dan 15 gangsa dengan pasukan olahraga menjadi penyumbang terbanyak iaitu 18 emas, sembilan perak dan 11 gangsa diikuti pasukan tenpin bowling yang menyumbangkan tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa.

“Kejayaan ini merupakan sesuatu yang cukup manis untuk dikenang apatah lagi jumlah kontinjen UniMAP berkurang hampir separuh kepada 155 atlit tahun ini berbanding 320 pada tahun lalu.

“Namun strategi UniMAP untuk menghantar hanya 18 pasukan yang berpotensi untuk menyumbangkan pingat membuahkan hasil apabila 12 acara telah berjaya menduduki tiga tempat teratas seterusnya membolehkan UniMAP kekal sebagai kuasa besar SUKUM,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, pasukan bola sepak UniMAP muncul penyumbang pingat terakhir selepas menundukkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dua gol tanpa balas dalam aksi akhir yang berlarutan sehingga ke masa tambahan di Stadium UiTM semalam.

UniMAP memecah kebuntuan gol pertama menerusi Khairul Zubaidi Kasa pada minit ke-97 manakala ketua pasukan UniMAP, Anas Shahrom seterusnya meletakkan UniMAP pada kedudukan selesa selepas menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma pada minit ke-109.

Kejayaan ini sekaligus menjadikan pasukan UniMAP muncul juara acara bola sepak lelaki senior untuk kali ketiga berturut-turut.

SUKUM Ke-40 disertai oleh 20 buah Universiti Awam (UA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sebanyak 29 acara dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung mulai 16 Ogos lalu yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki dan wanita senior serta lelaki dan wanita veteran.

Majlis perasmian penutup SUKUM disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said. Pada majlis tersebut juga, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-41 tahun hadapan.