A+ A A-

UniMAP Semarak Semangat Kemerdekaan

ARAU, 24 Ogos – Setiap tahun sambutan Hari Kemerdekaan telah menjadi acara wajib untuk disambut bagi setiap golongan rakyat Malaysia tidak mengira peringkat umur.

Namun kemeriahan sambutan itu tidak akan bermakna jika tidak dihayati erti sebenar harga kemerdekaan itu.

Atas kesedaran itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan beberapa aktiviti bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warganya.

Naib Canselor UniMAPBriged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, tema Sehati Sejiwa  yang dilaungkan pada tahun ini seharusnya dihayati semua kaum agar kestabilan negara dapat dikekalkan.

“Dalam usia 58 tahun pastinya negara sudah matang dan banyak pengalaman. Banyak ranjau, cabaran sama ada pahit atau manis telah kita pelajari dan rasai terutama sekali bagi pejuang-pejuang kemerdekaan kita.

“Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak dilambung ombak, begitulah juga Malaysia tercinta namun saya pasti sempena sambutan Kemerdekan Ke-58 ini jika kita bermuafakat, kita akan dapat mengatasi segala masalah dengan doa dan kerjasama seluruh rakyat Malaysia,”katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Kemerdekaan Ke 58 UniMAP, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom.

Ujar beliau lagi, bagi menghayati semangat Kemerdekaan ini, beberapa aktiviti telah direncanakan antaranya Program Tanggungjawab Sosial Universiti 2015 (VCORE), Hiasan dan Keceriaan di Setiap PTJ, Premis dan kampus-kampus UniMAP, Merdeka Treasure Hunt, Program Kayuhan Gerek dan Penyertaan Kontinjen UniMAP sempena Perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis.

“Saya berharap, semua warga UniMAP akan dapat memberi sepenuh komitmen dalam menjayakan program-program sempena sambutan Kemerdekaan ini, “katanya lagi.