A+ A A-

UniMAP Berhasrat Tubuh Anjung Terengganu

Kuala Terengganu – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat menubuhkan Anjung Terengganu bagi memberi fokus dalam bidang kejuruteraan di kawasan Pantai Timur selepas penubuhan Anjung Kuala Lumpur dan Anjung Kulim sebelum ini.

Hasrat berkenaan disuarakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Razif Abdul Rahman di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Datuk Kamarudin berkata Anjung Terengganu akan dibangunkan bagi meliputi penyelidikan di peringkat ijazah dan sarjana dalam bidang kejuruteraan serta perniagaan kejuruteraan.

Dalam kunjungan hormat berkenaan juga, kerajaan Terengganu turut melahirkan minat bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Pelan Perlis Maju yang dibangunkan UniMAP dalam sistem teknologi maklumat (ICT).

Terdahulu, UniMAP mengadakan perbincangan bagi menjalin kerjasama selain berhasrat mengadakan majlis menandatangani surat hasrat (LOI) di antara UniMAP, Kolej Universiti Tati dan ATSB bersama Pengarah Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dr Rozailan Ibrahim yang merupakan bekas Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP.

Hadir sama ialah Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP, Prof Madya Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan wakil ATSB.