- Kategori: BERITA - Malay
DARI PERLIS KE PUTRAJAYA Misi Sukarelawan Autisme UniMAP
Pauh Putra – Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism (A-HEART) yang ditubuhkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tahun lalu terus menggiatkan aktiviti bagi membantu anak-anak istimewa autisma dan orang kurang upaya (OKU).
Justeru, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin melancarkan upacara pelepasan anak-anak dan sukarelawan A-HEART bagi mengadakan misi lawatan sambil belajar ke Putrajaya di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP),di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dan penyelaras A-HEART iaitu Ketua Pustakawan PTSFP, Puan Mazmin Mat Akhir.
Menurut Datuk Kamarudin objektif utama lawatan sambil belajar ini adalah bertujuan bagi mendapatkan ilmu dan teknik dalam menguruskan, mengajar serta mendidik dengan lebih mendalam anak-anak istimewa itu.
“Penglibatan sukarelawan mahasiswa dan staf UniMAP, guru pemulihan dalam komuniti (PDK), ibu bapa bersama anak-anak istimewa ini dapat memberi impak yang mendalam selaras dengan hasrat kementerian sendiri yang mahu penglibatan semua pihak
“Selain itu, program sebegini dapat mewujudkan hubungan baik di antara organisasi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan keupayaan A-HEART dalam membangunkan pendidikan, sumber serta latihan,” kata beliau di sini.
Katanya, bagi program kali ini keutamaan diberikan kepada anak istimewa yang kurang berkemampuan dan tidak pernah melawat Putrajaya agar dapat memberi mereka peluang melihat serta merasa keindahan permodenan yang dimiliki Putrajaya.
Program lawatan berkenaan disertai oleh 39 peserta terdiri daripada sukarelawan mahasiswa UniMAP, staff UniMAP, ibu bapa, guru-guru PDK Perlis, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis termasuk sembilan anak-anak istimewa A-HEART.
Antara destinasi program lawatan itu ialah Pusat Autisma Ideas, Pemulihan Dalam Komuniti Curahan Kasih Port Dickson, Fakulti Pendidikan Autisme Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sekitar Putrajaya.