- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pengajaran Agama Perlu Bersumberkan Al-Quran Dan Sunah
PAUH PUTRA (Arau), 4 Sept (Bernama) -- Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan para pendakwah dan agamawan berhati-hati menyampaikan ajaran supaya tidak terbawa ilmu yang diragui kebenarannya.
Menurut beliau dalam keadaan banyak hadis-hadis palsu yang kemungkinan mempengaruhi umat Islam, golongan pendakwah dan agamawan hendaklah mempastikan penyampaian ilmu bersumberkan al-Quran dan sunah.
"Agama terletak atas dasar dalil, bukan atas dasar taklid (menurut tanpa ilmu)," kata Mohd Asri ketika menyampaikan ceramah program Bicara Ad-din sempena Minggu Suai Kenal Siswa Siswi Baru Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sidang Akademik 2015/2016, di kampus induk di sini Khamis malam.
Program anjuran bersama Pusat Islam UniMAP dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Mufti Perlis itu dihadiri lebih 1,000 orang.
Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor yang juga Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir.
Mohd Asri berkata kerajaan Perlis komited memelihara pegangan agama Islam yang suci bebas daripada unsur-unsur syirik dan khurafat.
-- BERNAMA