A+ A A-

UniMAP Tumpu Pembangunan Sukan Pelajar

SUNGAI CHUCUH, 5 SEPTEMBER –Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menumpukan pembangunan sukan di kalangan mahasiswa agar setanding dengan pencapaian stafnya pada tahun 2015.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan staf UniMAP bukanlah sesuatu yang baharu malah, telah lapan kali berturut-turut muncul juara keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM) sejak 2008.

UniMAP mahu para pelajar mengikut jejak yang sama seperti staf, kerana kita mementingkan keseimbangan antara bidang akademik dan sukan.

“Kita tidak mahu, graduan yang hanya cemerlang di dalam bidang akademik semata-mata tetapi gagal sebaliknya oleh itu segala kemudahan telah disediakan agar para pelajar dapat menggunakan sebaiknya kemudahan-kemudahan ini,”katanya ketika berucap pada Program Senam Ria Bersama Naib Canselor sempena Minggu Suaikenal UniMAP sidang Akademik 2015/2016 di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan.

Lebih 3’000 warga UniMAP yang terdiri daripada pelajar dan staf menyertai program senamria tersebut yang juga dijadikan medium perjumpaan mingguan bersama pihak pengurusan.

Ujar Kamarudin lagi, UniMAP juga juga mempunyai staf-staf yang terdiri dari atlet-atlet yang mewakili Malaysia, seperti atlet angkat berat, Mohd Faiz Musa, atlet lompat berpagar lelaki, Mohd Robani Hassan, dan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad.

“Segala pengalaman dan kemahiran yang dimiliki mereka ini akan digunakan sepenuhnya untuk membangunkan sukan para pelajar agar menjadi sebuah universiti yang disegani.

“Saya ingin mengenepikan stigma bahawa pelajar kejuruteraan dan teknologi tidak aktif bersukan sebaliknya saya ingin memberi cabaran kepada anak didik saya untuk meningkatkan reputasi sukan UniMAP di kalangan pelajar di Universiti Awam (UA) lainnya, “katanya lagi.