- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Fokus Tingkatkan Mobiliti Pelajar
Kangar, 11 September – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memberi fokus kepada peningkatan dan penglibatan dalam program mobiliti pelajar mulai tahun ini dalam usaha untuk terus meningkatkan reputasi akademik di peringkat antarabangsa dan tempatan.
Bagi menjayakan program tersebut, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pihaknya telah merangka beberapa aktiviti inbound dan outbound membabitkan pelajar UniMAP dengan Institusi Pendidikan Tinggi di dalam dan luar negara serta aktiviti pelajar dari luar di UniMAP.
Jelas beliau, ia merangkumi program pertukaran pelajar, lawatan akademik, program musim panas dan beberapa lagi yang akan berjalan untuk tempoh minimum selama tiga minggu.
Ujar beliau lagi, untuk tahun ini, seramai 18 pelajar UniMAP telah dihantar mengikuti program Musim Panas Asia (ASP) di Jepun mulai 4 hingga 28 Julai lalu yang mana ia turut disertai oleh tiga orang tenaga akademik UniMAP.
Terkini, Dr. Zul Azhar berkata, UniMAP telah menerima tiga kumpulan pelajar luar untuk mengikuti program mobiliti di UniMAP dengan kumpulan pertama terdiri daripada 13 pelajar Nahda University, Egypt yang tiba di UniMAP 23 Ogos lalu.
“Kumpulan berikutnya ialah dua pelajar dari Universiti Andalas Indonesia yang bakal berada di UniMAP selama dua bulan bagi mengikuti pengajian dalam bidang Matematik.
“Bagi kumpulan terakhir pula, ia terdiri daripada tujuh orang pelajar tahun 3 program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang akan meneruskan pengajian mereka selama satu semester,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan peserta program mobiliti pelajar UniMAP di Hotel Seri Malaysia di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Dr. Rosni Bakar, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS), Dr. Nasrul Hamidin serta para pensyarah yang terlibat.
Menurut Dr. Zul Azhar, UniMAP sebelum ini turut telah menghantar dua pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS) untuk menjalani program outbound mobiliti di UTHM dalam semester ketiga yang telah berlangsung selama lapan minggu di UTHM.
Ujar beliau, perlaksanaan program tersebut bukan sahaja melibatkan pemindahan kredit pelajar, sebaliknya ia dapat memberi ruang dan peluang untuk para pelajar meluaskan pengalaman, pembelajaran, mempelajari budaya dan nilai-nilai murni institusi dan mewujudkan jaringan komunikasi sesama pelajar dan tenaga pengajar.
“Semua pelajar yg mengikuti program mobiliti ini akan mendapat kredit pengajian yang mana ia akan disetarakan dgn kursus-kursus yang mereka ambil di universiti asal.
“Melalui inisiatif ini, UniMAP berharap, sasaran menjadi antara 500 universiti terbaik di dunia pada tahun 2020 dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.