- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pasukan Media Prima dan Pharmaniaga Juarai Treasure Hunt UniMAP
PAUH PUTRA, 14 SEPTEMBER – Pasukan gabungan Media Prima dan Pharmaniaga muncul juara kategori terbuka pada Cabaran Pencarian Harta Karun @ UniMAP sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2015, yang diadakan di Kampus Pauh Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.
Dengan kutipan sebanyak 95 markah, gabungan Media Prima dan Pharmaniaga berjaya membawa pulang empat buah telefon bimbit.
Tempat kedua diraih pasukan Alumni UniMAP dengan jumlah pungutan sebanyak 69 markah, membawa pulang empat unit tablet dan tempat ketiga dimenangi Pasukan CIMA yang mengutip 49 markah serta membawa pulang empat unit barangan elektrik berupa ketuhar gelombang mikro untuk setiap ahli pasukan.
Hadiah disampaikan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengurus Operasi UniMAP Holdings, Dr. Mohd. Najmudin Mohd. Hassan.
Sementara itu bagi kategori tertutup pula, dijuarai pasukan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan dengan kutipan sebanyak 121 markah membolehkan mereka membawa pulang empat unit telefon bimbit.
Tempat kedua dimenangi pasukan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dengan 107 dan memperolehi empat unit tablet dan ketiga dimenangi Fakulti Teknologi Kejuruteraan dengan 104 markah serta membawa pulang barangan elektrik berupa termos air panas.
Terdahulu,sebelum pertandingan bermula, para peserta diberikan taklimat mengenai peraturan dan pembahagian kumpulan oleh Dr. Mohd. Najmudin selaku ketua urusetia.
Para peserta yang terdiri dari 43 pasukan, kemudiannya dilepaskan oleh Datuk Kamarudin.
Menurut Dr. Mohd Najmudin, para peserta diberikan masa sebanyak lima jam 30 minit untuk menyelesaikan 50 soalan dan perlu mendapatkan klu di sekitar negeri Perlis.
“Sepanjang pertandingan, para peserta dikehendaki menyelesaikan beberapa cabaran seperti “What You See Is What You Get”, Soalan Bertema, Pencarian Harta, serta cabaran-cabaran fizikal di checkpoint utama termasuk permainan lapangan Woodball di Pusat Sukan UniMAP dan aktiviti bertemakan kemerdekaan di Kampus UniCITI Alam, Sg Chuchuh,’katanya.