- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Ulang Tahun Ke-10 Logo FestKon UniMAP Berwajah Baharu
ARAU 12 September – Sempena dengan Festival Konvokesyen (FestKon) Ke-10 kali ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat pertama kali akan menggunakan logo baharu sebagai simbolik pesta itu telah dilangsungkan selama sedekad.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, logo baharu pada FestKon tahun ini melambangkan kecemerlangan UniMAP bukan sahaja dari segi akademik tetapi merangkumi aspek kokurikulum.
Katanya, usaha itu dapat dibuktikan apabila pada Ogos lalu, UniMAP telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (Sukum) Kali Ke-40 sekali gus mengekalkan status juara bertahan lapan kali berturut-turut.
“Universiti yang menjadi kebanggaan rakyat Perlis ini turut menempa nama dalam bidang akademik apabila telah dinobatkan sebagai pemenang utama Pameran Inovasi Antarabangsa European Exhibition of Creativity and Innovation (Euroinvent 2015) di Pallas Mall, Lasi, Romania pada Mei lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pra-Pelancaran FestKon Ke-10, Cabaran Pencarian Harta Karun dan Kayuhan UniMAP sempena Bulan Kemerdekaan di Kampus Tetap Pauh Putra dekat sini hari ini.
Sebanyak 50 kenderaan terlibat dalam Cabaran Pencarian Harta Karun dan lebih 100 peserta terlibat dalam Kayuhan UniMAP.
Kamarudin berkata, pra-pelancaran FestKon Ke-10 itu bertujuan memberi hebahan kepada pelajar-pelajar UniMAP serta masyarakat setempat mengenai penganjuran pesta ini yang bermula pada 16 hingga 21 September ini.
Katanya, aktiviti kayuhan basikal itu bermula dari Kampus Tetap Pauh Putra ke pasar raya Cmart Arau sebagai satu simbolik pengumuman bahawa FestKon Ke-10 UniMAP sudah semakin hampir.
Katanya, peserta kayuhan juga akan berhenti di sekitar kawasan Pauh dan Arau untuk mengedar risalah kepada orang ramai.
Kamarudin berkata, UniMAP Holding pula menganjurkan Cabaran Pencarian Harta Karun yang terbuka kepada awam bagi menguji daya fikir para peserta selain berpeluang meneroka beberapa tempat menarik di Perlis.
“Saya percaya dengan program seumpama ini akan membantu promosi orang ramai untuk berkunjung ke FestKon-10 yang akan diadakan di Kampus Tetap Pauh Putra,” katanya.
Katanya, pada tahun ini juga terdapat variasi program dan penambahan jenis gerai jualan bagi menarik perhatian pengunjung. – Utusan Malaysia