- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
Tiga Projek UniMAP menangi Anugerah Innovate Malaysia Design Competition 2015
Kangar, 7 Sept – Nama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menjadi sebutan apabila tiga projek pelajar tahun akhirnya berjaya tersenarai sekaligus meraih beberapa anugerah dalam pertandingan akhir ‘Innovate Malaysia Design Competition 2015’ yang berlangsung pada 17 hingga 18 Ogos lalu bertempat di Connexion@Nexus Bangsar South Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga projek tersebut adalah hasil kumpulan pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik UniMAP yang terpilih selepas melalui beberapa tapisan sebelum disenaraipendek sebagai antara 35 projek bagi pertandingan akhir.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika dihubungi menyifatkan bukan sesuatu yang mudah untuk berada dalam kelompok 35 kumpulan terbaik kerana penganjur memaklumkan telah menerima sebanyak 403 penyertaan dari 26 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia tetapi hanya 290 penyertaan telah dipilih untuk menyertai pertandingan ini.
“23 projek UniMAP turut berada dalam kelompok 290 projek yang terpilih dan selepas melalui dua saringan serta sesi pembentangan bersama jurutera pada Mei 2015, hanya tiga projek dari UniMAP bagi laluan Altera dan Silterra telah berjaya disenaraipendek dari 35 projek yang terpilih dalam tujuh laluan syarikat ke peringkat akhir,” katanya.
Tambahnya lagi, pertandingan ini sangat mencabar apabila pelajar perlu membentangkan projek mereka mengikut laluan tujuh syarikat yang dipilih dan diadili oleh panel-panel daripada pihak industri, MDEC, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan TalentCorp bagi setiap anugerah yang ditawarkan.
Tujuh syarikat yang menaja anugerah bagi pertandingan itu adalah Altera, Intel, Keysight, MathWorks, Microsoft, National Instruments, Silterra/CEDEC dengan kerjasama TalentCorp dan Dreamcatcher.
Namun Datuk Kamarudin berhasrat untuk menghantar lebih banyak penyertaan dalam pertandingan seumpama ini sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti produk penyelidikan selain penghasilan jurutera yang kompeten di peringkat Malaysia dan juga global.
Projek pertama yang menerima anugerah Altera adalah hasil penyelidikan Muhammad Rizwan Che Noh, Muhammad Ibrahim Abdul Samad dan Muhammad Azim Jamil yang diselia Mohd Natashah Norizan dan Ili Salwani Mohamad bertajuk Smart Environment Monitoring and Cleaning System of Photovoltaic Modules Using IoT Technology berjaya meraih tempat ketiga dan menerima wang tunai RM 1000.00 beserta DE1 SoC Development and Education Board dan perisian Altera Complete Design Suite (ACDS).
Manakala projek kedua yang juga menerima penghargaan Altera adalah projek seliaan Prof. Madya Dr Yufridin Wahab melalui pelajarnya Hanisah Ibrahim bertajuk Shoe Insole Using FPGA Implementation memenangi hadiah saguhati berupa wang tunai RM 500.00.
Bagi laluan Silterra pula, projek UniMAP yang menerima pengiktirafan tempat ketiga bertajuk Design of Low Power Consumption LED Driver dijalankan oleh Cheng Yihui dan Guy Kang Guan dibawah seliaan Prof Dr Sudhanshu Shekhar Jamuar. Mereka menerima wang tunai RM 1000.00 dan baucer fabrikasi MPW- Multi Project Wafer bernilai RM 30 000.00 dari syarikat Silterra.
Bagi penyelia projek, Mohd Natashah nyata berpuas hati dengan keputusan yang diraih oleh pelajarnya kerana pertandingan ini adalah platform yang baik untuk mendedahkan pelajar tahun akhir mengenai kehidupan sebenar sebagai jurutera.
“Pertandingan ini juga melatih mereka untuk bekerjasama dalam kumpulan, mengasah kemahiran pembentangan profesional dan mengasah pemikiran kritikal.
“Tidak ketinggalan ianya memberi peluang kepada pelajar, pensyarah dan pihak industri untuk bertemu dan bertukar pendapat dalam memapankan lagi strategi pengeluaran graduan yang berkualiti dan bermanfaat kepada industri,” katanya.
Selain itu, kami juga mendapat perkongsian teknologi terkini daripada pihak industri dan cara penggunaannya untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat kearah yang lebih baik.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin. Manakala penutupannya pula dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Seri Abdul Wahid Omar.
Selain UniMAP, universiti lain yang terpilih ke pertandingan akhir adalah Universiti Putra Malaysia (4 kumpulan), Universiti Teknologi Mara (9 kumpulan), Universiti Teknologi Swinburne (3 kumpulan), Universiti Teknologi Petronas (1 kumpulan), Universiti Sains Malaysia (4 kumpulan), Universiti Kuala Lumpur (1 kumpulan), Universiti Malaysia Pahang (1 kumpulan),
Tidak ketinggalan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1 kumpulan), Universiti Teknologi Asia Pasifik (1 kumpulan), Kolej Universiti KDU (1 kumpulan), Universiti Teknologi Malaysia (4 kumpulan), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (1 kumpulan) dan Universiti Multimedia (1 kumpulan) turut memeriahkan pertandingan akhir.
Innovate Malaysia Design Competition adalah pertandingan pelbagai disiplin kejuruteraan yang terbuka kepada pelajar tahun akhir bidang kejuruteraan dan sains komputer di Malaysia yang berobjektif untuk memupuk budaya dan daya pemikiran kearah inovasi di kalangan graduan universiti.
Selain itu, ianya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam kejuruteraan, memupuk minat yang mendalam dalam reka bentuk kejuruteraan, serta mempromosikan hubungan antara pihak universiti-akademia.
Untuk rekod, tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut UniMAP berjaya menempatkan diri sehingga ke peringkat akhir. Innovate Malaysia Design Competition telah diperkenalkan pada tahun 2011 dan UniMAP telah mula menyertai pertandingan ini pada tahun 2013 dengan 2 projek dari laluan Altera dan Silterra masing-masing memenangi tempat ketiga dan saguhati.
Manakala pada tahun 2014 pula, 1 projek UniMAP telah berjaya ke pertandingan akhir dan menerima hadiah saguhati. Apa yang menarik keseluruhan peserta yang berjaya terpilih ke peringkat akhir ini adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik.
Muhammad Rizwan Che Noh, Muhammad Ibrahim Abdul Samad & Muhammad Azim Jamil bersama dengan penyelia Encik Mohd Natashah Norizan dan Cik Ili Salwani Mohamad dengan tajuk “Smart Environment Monitoring and Cleaning System of Photovoltaic”. Turut bersama adalah Senior Manager Altera,Mr EeKhon
Cheng Yihui& Guy Kang Guan dengan tajuk “Design of Low Power Consumption LED Driver"
Hanisah Ibrahim bersama penyelianya Prof. Madya Dr.Yufridin Wahab dengan tajuk “Shoe Insole Using FPGA Implementation”
Wakil dari Talent Corp bertanyakan soalan semasa proses penilaian.
Wakil dari jurutera Silterra/CEDEC semasa proses penilaian.