A+ A A-

CEGeoGTech UniMAP Kembangkan Kerjasama Strategik Ke India

Arau, 29 September - Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memacu kegemilangan bidang penyelidikan terutamanya dalam bidang geopolimer dan teknologi kejuruteraan apabila memeterai perjanjian awal dengan sebuah institusi pendidikan di India.

Perjanjian awal berbentuk surat hasrat (LoI) itu membabitkan CEGeoGTech UnIMAP dan Pusat Penyelidikan Konkrit Termaju (CACR) SRM Universiti yang berpangkalan di Chenai India.

UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr Kamarudin Hussin, manakala SRM Universiti diwakili oleh Ketua Pusat Penyelidikan Konkrit Termau. Prof. Dr. Nirmalakumar P.Rajamane.

Yang turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Dr. Khairel Rafezi Ahmad dan Pengurus CEGeoGTech, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Menurut Dr. Mustafa Al-Bakri, CeGeoGTech sebelum ini telah mewujudkan rangkaian kerjasama dengan beberapa negara antaranya Indonesia, Vietnam, Australia, Romania.

Justeru, ujar beliau, melalui perjanjian terbaru itu, CeGeoGTech akan terus memberi fokus terhadap penerbitan buku dan jurnal secara bersama, penyeliaan pelajar serta pertukaran pelajar dan staf.

“SRM Universiti merupakan sebuah universiti swasta yang memulakan operasinya semenjak 1969 dan mempunyai beberapa buah kampus di India selain turut diiktiraf sebagai antara universiti swasta terbaik di India dan dalam masa yang sama turut menerima akreditasi daripada Accreditation Board for Engineering and Technology (ABET) bagi program-program teknologi kejuruteraan.

“Justeru, pemilihan universiti ini sebagai rakan kerjasama baru diharap dapat membantu mengembangkan penyelidikan teknologi hijau yang merupakan teras utama CeGeoGTech,” ujar beliau.

Terdahulu, CeGeoGTech turut mengadakan seminar berasakan geopolimer (GeoTALK 2015) yang disampaikan oleh Prof. Dr. Nirmalakumar yang merupakan antara penyelidik terawal dalam bidang geopolimer di India.

Dalam masa yang sama juga, atas kepakaran yang ada, pihak CEGeoGTech telah bersetuju melantik Prof. Dr. Nirmalakumar sebagai penasihat penyelidikan CeGeoGTech untuk tempoh dua tahun.