- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Mahasiswa Diminta Contohi Semangat Sukarelawan Negara Maju
ARAU 17 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan mahasiswa perlu mencontohi semangat kesukarelaan di negara maju yang menyaksikan rakyatnya bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa terhad sewaktu musibah sahaja.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah, bantuan ini boleh dilakukan secara spontan seperti menjaga kebersihan persekitaran di samping melibatkan diri dalam penganjuran aktiviti sukan dan sebagainya.
“Apa yang penting semangat kesukarelaan bukan satu paksaan sebaliknya merupakan tanggungjawab sosial yang tidak berkonsepkan meraih populariti,” titah baginda ketika merasmikan Festival Konvokesyen Ke-10 (Festkon-10) UniMAP di Kampus Tetap Pauh Putra dekat sini malam tadi.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.
Yang turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Sempena majlis itu, orang ramai dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Thaksin, Thailand selain persembahan oleh penyanyi terkenal, Faizal Tahir.
Baginda bertitah, kesedaran untuk menjadi sukarelawan sepatutnya ada dalam diri setiap individu khususnya mahasiswa.
“Masyarakat di Barat misalnya, menghulurkan bantuan bukan dalam komuniti mereka sahaja sebaliknya melangkau sempadan sehingga ke Afrika, Amerika Selatan dan Asia,” titah baginda.
Baginda bertitah, mahasiswa perlu berazam menjadi juara bukan sahaja dalam aspek perpaduan sebaliknya dalam menggalas peranan sebagai sukarelawan dengan penuh ikhlas dan dedikasi.
“Ingatlah cabaran yang datang selalunya adalah di luar jangkaan kita, tetapi ianya bukanlah menjadi ‘batu penghalang’ untuk kita mara ke hadapan jika kita sentiasa bersiap siaga,” titah baginda.