- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Didik Anak Dengan Nilai Keimanan Untuk Pertahankan Integriti Diri - Raja Muda Perlis
PAUH PUTRA, 19 Sept (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa pelajar adalah permata berharga dan perlu dididik dengan nilai-nilai yang mengupayakan mereka menghadapi godaan dan cabaran mendatang.
Menurut baginda nilai-nilai tersebut harus berkembang seiring dengan tuntutan agama bagi menjadi pendinding apabila mereka memasuki alam pekerjaan dan mempertahankan integriti.
"Ibu bapa sebagai pendorong utama hendaklah menunjukkan contoh dan teladan baik supaya terus menjadi ikutan dan pembinaan keperibadian anak-anak mereka walaupun selepas tamat belajar di universiti.
"Negara akan kecewa jika mereka yang bergelar graduan mudah kecundang dengan godaan dan cabaran," titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada sidang pertama istiadat konvokesyen ke-10 universiti itu di sini, Sabtu.
Seramai 2,441 graduan menerima ijazah dan diploma mereka dalam lima sidang bermula Sabtu, Ahad dan Isnin.
Sempena konvokesyen itu Tuanku Syed Faizuddin berkenan menganugerahkan ijazah kehormat kepada dua tokoh yang banyak berbakti, berkorban tenaga, idea dan kepakaran terhadap perkembangan UniMAP dan pembangunan sosio-ekonomi negara amnya.
Mereka ialah Pengarah Urusan merangkap ketua pegawai eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) Datuk Prof Dr Ahmad Sabirin Arshad dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Kejuruteraan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redha Rafiq Abdul Razak (Ekonomi).
Rektor Universiti Karabuk di Turki, Prof Dr Burhanettin Uysal pula akan dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Pengurusan pada sidang ke-5 Isnin ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah golongan muda yang bertenaga wajib menjalankan khidmat dengan amanah ibarat "maju negara kerana kemudi, maju masyarakat kerana akurnya janji, maju keluarga kerana indahnya budi pekerti."
"Kepada ibu bapa, saya ingin berpesan jangan biar anak-anak hanyut dan hidup bergelumang dosa kerana mereka akan turut terpalit akibat kesilapan anak.
"Didiklah anak-anak ikut resmi padi, 'makin tunduk makin berisi' bukan resmi tong kosong yang kuat bunyi tapi isi kosong dan membuang budaya primitif yang membelenggu perkembangan, sensitiviti dan produktiviti mereka," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin berharap graduan apabila bekerja mematuhi etika kerja dan undang-undang dengan penuh integriti kerana kepercayaan yang diberikan kepada mereka adalah amanah yang bukan boleh dijual beli.
"Generasi ini mesti dibina dengan penuh keimanan supaya mereka dapat melihat kebenaran, mengetepikan selisih faham, berhemah menangani masalah dan bijaksana agar organisasi yang disertai lebih perkasa, sejahtera dan aman," tambah baginda.
Pengerusi lembaga pengarah UniMAP, Datuk Prof Emeritus Ir Dr Zainai Mohamed dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin hadir pada konvokesyen tersebut.
-BERNAMA-