- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP dan AIMST Cipta Produk Ezy-Inflatable Bedpan Untuk Pesakit
Taiwan, 4 Oktober – Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) berjaya menghasilkan produk Ezy-Inflatable Bedpan khusus untuk menggantikan bedpan konvonesional bagi pesakit yang tidak dapat bergerak.
Produk tersebut berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas dan anugerah khas World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) di Taipei International Invention Show & Technomart (INST 2015) di Taipei di sini, semalam.
Produk penyelidikan Dr. Sharifah Shahnaz Syed Abu Bakar dan Siti Zaharah Ahmad itu dihasilkan menggunakan polimer PVC yang lembut bagi memberikan keselesaan kepada pesakit terutama pesakit yang lumpuh, warga emas dan lain-lain lagi memandangkan ia tidak memerlukan pergerakan yang banyak.
Menurut Dr. Sharifah Shahnaz, bedpan sedia ada biasanya diperbuat daripada logam dan plastic yang keras yang seringkali menimbulkan rasa kurang selesa terhadap pengguna dan penjaga pesakit yang juga boleh menyebabkan kulit melecet.
Selain itu, ujar beliau, cara pengendaliannya juga menyukarkan penjaga dan jururawat yang mana ia memerlukan pesakit diangkat untuk membolehkan bedpan di letakkan di bahagian bawah punggung pesakit.
Namun, dengan menggunakan Ezy-Inflatable Bedpan yang pada asalnya mempunyai ketebalan 15 milimeter, ia dapat digulung dan diletakkan di bawah punggung pesakit dengan pergerakan yang sangat minima.
“Seterusnya, angina akan dipam masuk ke dalam bedpan ini mengikut ketinggian selesa bergantung kepada keadaan dan keselesaan pesakit sebelum dilekatkan dengan lampin pakai buang bagi memudahkan proses pembuangan.
“Selepas selesai proses, penjaga pesakit hanya perlu membuang lampin pakai buang, mengeluarkan angin dari bedpan dan menyimpannya kembali di tempat yang mudah dicapai,” ujar beliau.
Selain produk Ezy-Inflatable Bedpan, satu lagi produk ciptaan Dr. Sharifah Shahnaz bersama rakan penyelidik Dr. Luqman Musa, Dr. Rozyanti Rahman dan Lokman Hakim Ibrahim, E-WFI Tank turut meraih pingat emas pada pertandingan tersebut yang disertai oleh lebih 25 buah negara.
Dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Bereau of Foreign Trade dan Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) itu, UniMAP turut meraih pingat gangsa menerusi produk Agro Plast : Biodegradable Plastic From Agro Fruit Seeds hasil penyelidikan Dr. Mohamad Kahar Abd. Wahab, Dr. Nik Noreman Zulkepli dan Dr. Luqman Musa.