A+ A A-

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer

Kangar, 3 Oktober – Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus memberi fokus dalam meningkatkan jumlah penerbitan jurnal dan penyelidikan geopolimer sebagai rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, berdasarkan laporan daripada Elsevier pada April 2015, UniMAP merupakan institusi penyelidikan yang tertinggi dari segi penerbitan jurnal dan penyelidikaan berkaitan geopolimer di dunia diikuti Universiti Curtin Australia dan Universiti Khon Kaen Thailand.

Beliau yang juga merupakan pengarah CEGeoGTech berkata, antara strategi CEGeoGTech sehingga mampu menghasilkan penerbitan yang tertinggi ialah melalui penubuhkan kumpulan-kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh semua penyelidik geopolimer dari pelbagai institusi pendidikan di Malaysia yang dikenali sebagai Perrsatuan Geopolimer Malaysia (MyGeopolymer).

“Melalui kumpulan penyelidik ini, beberapa siri seminar dianjurkan bagi membolehkan pakar-pakar geopolimer berkongsi kepakaran masing-masing dengan pelajar pascasiswazah dan juga pensyarah muda yang mana ia turut membantu melahirkan lebih lima graduan doktor falsafah (PhD) dalam bidang geopolimer,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian selepas penganjuran Seminar Geopolimer (GeoSEM) yang menghimpunkan empat buah universiti awam (UA) iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan UniMAP yang berlangsung di Hotel Putra Palace Perlis di sini semalam.

Menurut Kamarudin,  penganjuran seminar tersebut memberi fokus kepada penambahan ilmu geopolimer secara asas yang dapat membantu para pelajar pascasiswazah di CEGeoGTech dan pelajar-pelajar daripada universiti lain.

Ujar beliau, yang paling mendapat tumpuan adalah perbentangan mengenai asas geopolimer oleh Dr. Idawati Ismail daripada UNIMAS yang merupakan graduan geopolimer daripada Universiti Melbourne, Australia.

Selain itu, jelasnya, pihak penganjur juga menjemput pembentang daripada UTP iaitu Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin yang merupakan pakar dalam bidang konkrit dan simen untuk berkongsi penyelidikan semasa beliau dalam bidang geopolimer.

“Dua orang graduan sulung PhD CEGeoGTech dalam bidang geopolimer juga turut diberi peluang berkongsi pengetahuan dalam bidang geopolimer iaitu Dr. Heah Cheng Yong dan Dr. Liew Yung Ming yang mana kedua-dua mereka merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.

“Seminar seperti ini akan diperbanyakkan lagi untuk masa hadapan dengan memanggil pakar-pakar geopolimer daripada negara lain dalam memartabatkan geopolimer Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya lagi sambil menambah CEGeoGTech juga bersetuju melantik Dr. Idawati Ismail sebagai penyelidik bersekutu dalam bidang geopolimer.

Selepas ini, CEGeoGTech akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahan Elektronik (EPITS 2015) di Pulau Pinaang pada 21 November 2015 serta Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan dan Teknologi Bahan Termaju (ICAMET 2015) pada 4-5 Disember 2015 di Kaohsiung Taiwan.

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer

CEGeoGTech UniMAP Fokus Tingkatkan Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan Geopolimer